Pertelingkahan hudud MCA-DAP akan membawa ke ‘Islamophobia’, tegas ABIM

August 26, 2012
Bendera gergasi Malaysia di Kuala Lumpur menjelang sambut ulangtahun Hari Kemerdekaan. Malaysia menyambut ulangtahun Kemerdekaan ke 55 pada 31 Ogos. — Foto Reuters
KUALA LUMPUR, 26 Ogos — Salah satu kumpulan Islam paling berpengaruh meminta MCA dan DAP agar berhenti memainkan isu hudud oleh sebb kedua-dua parti politik kaum Cina itu dilihat mempromosikan ‘Islamophobia’ di Malaysia.
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Amidi Abdul Manan hari ini berkata, kenyataan yang dibuat oleh pemimpin MCA dan DAP mengenai hudud baru-baru ini sebagai tidak menghormati sensitiviti umat Islam yang merupakan penduduk majoriti di negara ini.
Beliau menuduh kedua parti tersebut menggunakan isu hudud demi untuk memenangi sokongan daripada penduduk bukan Islam negara ini menjelang pilihan raya yang semakin hampir.
“Jika situasi ini dibiarkan secara berterusan dan tidak dihentikan, fenomena Islamophobia — hubungan tidak baik di antara orang Islam dan bukan Islam di seluruh dunia merebak masuk ke dalam negara,” kata Amidi dalam sebuah kenyataan hari ini.
Beliau dengan tegas menyatakan Islam tidak akan menafikan hak dan kebebasan bukan Islam dan ini dinyatakan dengan jelas dalam jurispuden Islam.
“Sebarang percubaan untuk mempolemikkan undang-undang Islam (hudud) untuk mencipta prejudis dikalangan bukan Islam harus dihentikan,” tegasnya.
“Sebaliknya, semua pihak harus bersiap-sedia untuk memahami undang-undang ini untuk mencegah ketidakfahaman dikalangan masyarakat,” tambahnya.
Amidi mengatakan bahawa organisasinya menawarkan diri untuk memberi penjelasan mengenai isu ini dalam bentuk diskusi termasuk perbincangan akademik.
“ABIM juga telah bersedia untuk membuat diskusi penjelasan kepada orang ramai terutamanya kepada komuniti bukan Islam,” katanya.
Semalam, ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta orang ramai agar tidak terpengaruh dengan tindakan terdesak Barisan Nasional untuk mengalihkan perhatian daripada isu-isu rasuah dan salah guna kuasa.
Hudud seringkali menjadi isu yang menyebabkan parti komponen Pakatan Rakyat (PR), PAS dan DAP seringkali bertegang urat semenjak pakatan pembangkang itu ditubuhkan selepas pilihan raya 2008.

http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pertelingkahan-hudud-mca-dap-akan-membawa-ke-islamophobia-tegas-abim/
Tags: ,

Renungan

Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimah yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya (menjulang) ke langit, pohon itu memberikan buahnya pada setiap musim dengan izin Tuhannya. Allah membuat perumpamaan-perumpamaan itu untuk manusia supaya mereka selalu ingat. Dan perumpamaan kalimah yang buruk seperti pohon yang buruk, yang telah dicabut dengan akar-akarnya dari permukaan bumi; tidak dapat tetap (tegak) sedikitpun.

0 comments

Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...