Hudud: PAS akan laksana ikut saluran demokrasi

Harakahdaily, 25 Ogs 2012                             

KUALA LUMPUR: Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata PAS akan melaksanakan hukum hudud melalui proses demokrasi yang sedia ada.

Malah ujarnya, usaha itu telah dimulakan sejak tahun 90-an lagi apabila Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dan Enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003 diperkenalkan dikedua-dua negeri itu.

Sebelum itu lagi katanya, mereka telah memperkenalkan draf undang-undang itu kepada NGO Islam dan bukan Islam dan pernah mengemukakan usul agar isu perlaksanaan hudud dibincangkan di parlimen.

"PAS terima hudud secara positif dan hudud ini kewajipan orang Islam.

"Kita akan terus langsungkannya melalui ruang demokrasi," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Biro Politik dan Pilihan Raya PAS di Pejabat Agung parti itu petang ini.

Ditanya berhubung Pengerusi DAP Karpal Singh yang sering mengeluarkan kenyataan menentang perlaksanaan hudud, presiden PAS itu berkata ianya bukan sesuatu yang pelik bagi PAS.

"Masalah Karpal lawan tak pelik. Sebab itu Allah menurunkan surah Al-Maidah yang mana orang Yahudi dan kafir tidak menyokong Islam dan Allah turunkan ayat itu.

"Yang kita peliknya Umno yang lawan. Malah ambil langkah-langkah yang menyekat," katanya.

Beliau turut memberi contoh surat amaran dari pusat yang dihantar kepada kerajaan Kelantan apabila menyatakan hasrat mahu melaksanakan hudud di negeri itu.

Malah katanya Umno sanggup kempen kepada pelabur asing agar tidak datang melabur kerana negeri ini akan dilaksana hukum hudud.

"Karpal bukan kerajaan, tidak ada kuasa, yang ada kuasa ni BN yang dikuasai Umno. DAP berhak berhujah dan PAS mendokong demokrasi.

"Bahkan kalau PAS ada kuasa (memerintah) macam Umno sekarang, PAS tak akan tutup mulut sesiapa yang nak tegur termasuk kakitangan kerajaan," katanya
Tags: ,

Renungan

Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimah yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya (menjulang) ke langit, pohon itu memberikan buahnya pada setiap musim dengan izin Tuhannya. Allah membuat perumpamaan-perumpamaan itu untuk manusia supaya mereka selalu ingat. Dan perumpamaan kalimah yang buruk seperti pohon yang buruk, yang telah dicabut dengan akar-akarnya dari permukaan bumi; tidak dapat tetap (tegak) sedikitpun.

0 comments

Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...