Peranan Lajnah atau Biro dalam suatu organisasi memberi kesan yang besar terhadap perkembangan organisasi yang dibina. Kita mengetahui bahawa pembinaan lajnah dalam organisasi adalah untuk memudahkan gerak kerja organisasi dan membahagikan tugas dengan lebih berkesan. Allah menyatakan tentang kaedah dan perancangan perjuangan Islam melalui ayat al-Quran:
¨bÎ) ©!$# =Ïtä† šúïÏ%©!$# šcqè=ÏG»s)ム’Îû ¾Ï&Î#‹Î6y™ $yÿ|¹ Oßg¯Rr(x. Ö`»uŠ÷Yç/ ÒÉqß¹ö¨B ÇÍÈ
Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berperang untuk membela ugamaNya, Dalam barisan Yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan Yang tersusun kukuh. (al-saff,4)
Ayat tersebut menjelaskan kepada kita betapa penting perancangan yang perlu diatur oleh manusia termasuk pejuang-pejuang Islam walaupun agama ini semestinya akan menang walau melalui apa cara sekalipun. Namun, Allah menghendaki perancangan yang rapi daripada hambanya supaya memenuhi prasyarat untuk mencapai kemenangan yang dijanjikan oleh Allah.
Peranan setiap biro atau Lajnah amatlah besar dalam suatu organisasi. Oleh itu, suatu organisasi perlu memperkukuhkan lajnah yang telah diwujudkan agar perjalanan gerak kerja dapat berjalan dengan lancar dan setiap lajnah mengetahui kedudukan masing-masing. Oleh itu, ketua bagi setiap Lajnah memainkan peranan bagi menghidupkan gerak kerja bagi setiap Lajnah tanpa perlu menunggu arahan semata-mata apatah lagi yang melibatkan gerak kerja islam di mana habuannya tidak nampak pada mata kasar.
Setiap individu perlu memainkan peranan terutama memperkukuhkan Lajnah masing-masing. Sebagai pejuang Islam, tidak boleh menunggu arahan semata-mata kerana pemimpin atasan tidak mampu untuk merancang semua gerak kerja dan melaksanakan semua gerak kerja. Sekiranya mereka mampu, lajnah tidak perlu diwujudkan. Cukup sekadar adanya Ketua dan kerja yang boleh dilaksanakan. Ini tidak mungkin boleh berlaku kerana Nabi S.A.W juga mempunyai perancangan yang rapi dalam melaksanakan dakwah dan perjuangannya.
Justeru, kita perlu memikirkan kembali Islah yang perlu kita lakukan dalam memantapkan organisasi ini terutama organisasi Pemuda pas Dun Chukai (PPDC) yang merupakan sayap kanan bagi menjayakan agenda perjuangan islam. Di antara lajnah yang penting dan perlu memainkan peranan yang besar adalah Lajnah Kebajikan, Lajnah Tarbiyyah, Jabatan Mahasiswa, Lajnah ICT, Lajnah penerangan, Lajnah Ekonomi dan sebagainya. Kesemua lajnah tersebut mempunyai peranan dan hubungan antara satu sama lain.
Di zaman Rasulullah juga dibahagikan tugas dengan baik yang telah dirangka oleh baginda dan menggunakan pelbagai strategi dalam berjuang. Mereka mematuhi segala arahan Nabi dan kita melihat bagaimana peperangan uhud berlaku masalah yang melanda pejuang-pejuang islam kerana tidak mengikut strategi yang telah diatur oleh baginda. Rasulullah S.A.W menugaskan sekumpulan sahabat untuk menjaga bukit Uhud dan berada di atas bukit Uhud bagi mengawal musuh dan jangan lari walau apa pun berlaku. Apabila mereka melihat musuh melarikan diri, mereka mereka melakukan kesilapan meninggalkan arahan Nabi S.A.W.
Nabi S.A.W menghantar utusan-utusan seperti menghantar Muaz Bin Jabal dan Abu Musa al-asya’ri ke yaman bagi melaksanakan dakwah dan mereka melaksanakan dakwah dengan baik. Mereka hanya menerima sedikit pesanan daripada Nabi di antaranya kata Nabi “ Wahai Muaz, permudahkan dan jangan memayahkan”. Mereka tidak diberi kertas kerja yang rapi oleh baginda bagi melaksanakan tanggungjawab dakwah kerana ianya bergantung kepada mereka yang telah ditugaskan. Apa yang penting, mereka diberi kefahaman Islam dan matlamat perjuangan sehingga utusan-utusan itu memahami apa yang perlu dilaksanakan.
Begitu juga jika kita melihat siri-siri peperangan yang berlaku di zaman Rasulullah S.A.W. Peperangan mu’tah sebagai contoh; Nabi menyerahkan bendera kepada Zaid Bin Harithah untuk menyerang Kuasa besar dunia ketika itu dan nabi menyatakan sekiranya Zaid gugur, serahkan bendera kepada Jaafar Bin Abi Talib dan sekiranya Jaafar gugur, bendera mesti diserahkan kepada Abdullah bin Rawahah. Kemudian Rasulullah tidak menyebut kepada siapa bendera mesti diserahkan sekiranya Abdullah gugur. Akhirnya di dalam peperangan itu, ketiga-tiga sahabat tadi gugur syahid dan nabi menitiskan air mata ketika menceritakan perjalanan peperangan secara langsung kepada para sahabat di Madinah. Lalu mereka membuat keputusan sendiri melalui persepakatan untuk menyerahkan bendera kerana Nabi menyatakan serahkan bendera kepada yang layak di antara kamu sekiranya Abdullah Bin Rawahah gugur. Ini menunjukkan kebijaksanaan pejuang islam mesti mengatur strategi setelah menerima tugas dan arahan. Khalid Bin Al- Walid telah dilantik untuk memimpin dengan diserahkan bendera kepadanya dan Khalid merancang dengan teliti. Khalid membahagikan tugas dengan sebaiknya untuk memastikan mereka berjaya menyerang musuh. Khalid mengatur strategi ketenteraan sehingga mengelirukan musuh dan musuh menyangka Khalid mendapat tentera bantuan. Semua gerak kerja itu tidak diajar oleh Rasulullah s.a.w tetapi langkah-langkah itu diambil oleh Khalid untuk menyelamatkan tentera Islam. Ini menunjukkan cukup sekiranya pimpinan memberikan tugas dan arahan secara umum dan kita sendiri memastikan matlamatnya tercapai.
Di sini juga menunjukkan penting pembahagian tugas dalam menyusun atur gerak kerja Islam bukan sahaja hebat mengadakan pelbagai aktiviti. Istiqamah yang perlu wujud dan pembaharuan dalam gerak kerja perlu dimantapkan. Justeru, kita membahagikan lajnah yang sedia ada dan kita mengharapkan setiap Lajnah memainkan peranan yang penting. Memang tidak dinafikan bahawa mereka yang berada dalam perjuangan dan mendokong perjuangan ini tidak ramai untuk membantu setiap lajnah sehingga kita terpaksa bekerja dalam membantu antara satu sama lain. Walaubagaimana pun, Ketua bagi setiap Lajnah masih lagi memikul satu amanah yang besar dan berat dan sudah pasti mereka mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah bergantung kepada usaha yang dilakukan.
Lajnah Tarbiyyah memainkan peranan yang paling besar dalam mendidik masyarakat dan pejuang-pejuang Islam supaya terus kehadapan dan sentiasa yakin berada dalam perjuangan. Lajnah Tarbiyyah perlu bertindak melaksanakan agenda dakwah dapat dilaksanakan dengan berkesan untuk memastikan islam tersebar ditempat masing-masing. Setiap agenda dan program yang diadakan mesti mempunyai halatuju dan matlamat dan mesti dinilai kembali kejayaan sesuatu program. Sebagai contoh, apa yang perlu dilakukan untuk menarik anak muda dan mentarbiyyah mereka untuk digunakan ditempat kita terutamanya diperingkat DUN atau CAWANGAN. Disamping itu, Lajnah tarbiyyah juga mesti memikirkan agenda Tarbiyyah kepada Pendokong-pendokong gerakan ini. Oleh itu, lajnah tarbiyyah mesti mempunyai senarai pendokong gerakan ini dan mengambil cakna tiap-tiap individu yang terlibat. Ini sangat penting kerana pendokong tidak merasakan dirinya keseorangan dalam memikul beban dakwah dan tugas yang ditaklifkan untuk memenangkan islam.
Lajnah Kebajikan juga merupakan suatu lajnah yang penting dalam meneruskan gerak kerja Islam diperingkat masing-masing dan sudah pasti perlu menepati konsep Negara Berkebajikan. Lajnah ini memainkan peranan untuk menjaga kebajikan masyarakat setempat dan mengambil berat urusan masyarakat. Pada masa yang sama, kebajikan pejuang-pejuang islam juga perlu diambil kira. Lajnah ini perlu kepada objektif dan halatuju yang jelas dan paling penting agenda kebajikan yang diatur perlu sampai kepada masyarakat umum. Masyarakat setempat khususnya harus mengetahui apa yang dilakukan oleh lajnah ini dengan bantuan lajanah ICT dan Penerangan menepati kaedah kita berpolitik. Lajnah ini tidak boleh mengatur agenda tersendiri tanpa kerjasama daripada Lajnah Penerangan dan juga Lajnah ICT kerana agenda yang diatur perlu sampai kepada masyarakat kerana mereka ingin melihat apa yang dilakukan oleh PAS khususnya? Oleh itu, Lajnah penerangan memainkan peranan penting sebagai contoh risalah yang diedarkan mesti diteruskan dan kita yakin ianya mendapat sambutan.
Seterusnya Lajnah ICT yang merupakan Lajnah penting untuk memantapkan organisasi. Lajnah ini memainkan peranan penting untuk memastikan pendokong gerakan ini memahami dan mengetahui era kehidupan anak muda diabad ini. Penggunaan computer dan internet sudah tidak asing lagi dikalangan anak muda bahkan suatu yang pelik sekiranya mereka tidak tahu langsung berkenaan IT. Justeru penyebaran maklumat perlu berlaku melaluinya dan kita khususnya pemuda tidak memandang remeh perkara ini kerana lokasi perjuangan kita bukannya di kampong-kampung semata-mata. Pada masa yang sama, pendokong-pendokong gerakan ini khususnya pemuda perlu dipastikan oleh Lajnah IT untuk memahirkan mereka mengenai penggunaan computer sekaligus penggunaan internet sebagai media baru hari ini. Oleh itu, lajnah ini bukanlah suatu lajnah yang mudah jika ia mengambil tanggungjawab yang sebenar demi memenangkan Islam.
Lajnah Penerangan juga seharusnya memainkan peranan yang besar dalam mengatur strategi perjuangan. Ini kerana, Lajnah Penerangan bukannya berfungsi untuk menerangkan maklumat kepada ahli semata-mata bahkan memikul tanggungjawab yang lebih luas apalagi kita memilih jalan demokrasi pilihanraya yang sudah tentunya memerlukan penerangan disetiap peringkat. Oleh sebab itu, Lajnah ini perlu memahami seluruh gerak kerja yang dilakukan dan kalau kita lihat Ketua Lajnah ini perlu terlibat dengan mesyuarat harian sekiranya diadakan. Ini menunjukkan gerak kerja bagi lajnah ini perlu dimantapkan dari semasa ke semasa.
Tidak ketinggalan juga Lajnah Jabatan Mahasiswa yang memainkan peranan penting untuk menghimpunkan Mahasiswa di kawasan masing-masing. Kita perlu menyedari bahawa keterlibatan mereka adalah penting dalam membuat perubahan sekiranya kita tahu menggunakan mereka. Kita memahami bahawa dalam perjuangan islam ini sudah pasti kerja mengatasi masa yang kita miliki dan kita perlu mengatur strategi yang baik supaya tidak cepat penat dalam perjuangan. Justeru, angka mahasiswa khususnya negeri kita Terengganu bukan suatu angka yang kecil dan boleh ditinggalkan. Apa yang menjadi masalah, mereka tidak dipanggil untuk bersama kerana kita mengharapkan mereka datang kepada kita dengan rela hati. Ini suatu tindakan yang tidak kena jika kita melihat agenda Tarbiyyah yang digunakan kepada mereka. Lajnah Jabatan Mahasiswa lebih memahami perkara ini untuk diperhalusi dan kita tidak menafikan mereka yang berada dalam perjuangan islam adalah mereka yang dipilih oleh Allah.
Begitu juga dengan Lajnah-lajnah yang lain semestinya keterlibatan mereka adalah penting dalam meneruskan agenda gerak kerja Islam yang diatur seperti Lajnah Ekonomi. Kerjasama Lajnah ini dengan bendahari bagi mencari dana amatlah penting dalam menjayakan seluruh agenda yang dirancang. Bukan apa yang diperkatakan di atas adalah teori semata-mata kerana Quran datang sebagai petunjuk dan tidak semua orang menjadikan quran untuk mencari petunjuk. Ianya begitu bermanfaat sekiranya diamalkan dan dihayati disamping perubahan yang bakal kita lakukan, InsyaAllah...
Penulis memohon maaf di atas segala kekurangan dan kesilapan ~ semoga penulisan itu membuka minda masing-masing dalam berorganisasi dan berpolitik.
PENOLONG S/U PPDC
March 5, 2017 at 12:03 AM
Alhamdulillah. Jazakallah. Syukur di beri petunjuk oleh Allah bg saya membaca blog ini. Allah Ya Mujib. Inilah yang saya cari peranan lajnah.Allah Ya Fattah Ya Qadr Ya Rahman Ya Rohim. Barokallahu fikum.
Mohon saya kongsikan bicara ini bersama shbt seperjuangan saya.