Royalti: BN Terengganu khianati rakyat


Salmiyah Harun dan Muhamad Faizal,24 Apr 2012

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali (gambar) menyifatkan kerajaan BN Terengganu sebagai pengkhianat terhadap rakyat negeri itu apabila  menarik balik saman ke atas Petronas.

Katanya, apabila kerajaan BN Terengganu mengugurkan saman royalti minyak bermakna mereka telah menyerahkan hak itu kepada kerajaan pusat.

"Ini benda yang tidak betul, apa syarat-syaratnya sehingga tarik balik saman itu?" soal beliau kepada Harakahdaily.

Bahkan katanya, rakyat Terengganu perlu tahu apa terma perjanjian sehingga kerajaan dibawah Datuk Seri Ahmad Said menarik balik saman secara senyap.

Apapun berlaku, katanya rakyat negeri itu perlu tahu kerana royalti minyak adalah hak mereka 

"Buat senyap-senyap, rakyat pun tidak tahu. Rakyat nak tahu apa tindakan yang hendak ambil oleh kerajaan," tegasnya yang bekas Exco Kerajaan Negeri Terengganu.

Terdahulu, Kerajaan Terengganu di bawah pimpinan Umno telah menggugurkan saman royalti minyak yang difailkan 11 tahun yang lalu oleh kerajaan negeri di bawah PAS, lapor The Edge Financial Daily (TEFD).

Bagaimanapun, TEFD berkata tiada butiran lanjut mengenai penyelesaian luar mahkamah yang dicapai antara kerajaan Terengganu dengan Petronas dan kerajaan persekutuan dalam permohonan yang difailkan 21 Mac yang lalu.

Selepas enam bulan PAS menawan Terengganu iaitu pada tahun 2000, perdana menteri ketika itu,  Tun Dr Mahathir Mohamad telah membuat keputusan untuk menarik balik bayaran 5 peratus royalti minyak kepada negeri penyu tersebut.

Sebelum itu, sejumlah RM7.13 bilion yang dipersetujui dengan kerajaan negeri telah dibayar selama 22 tahun.

Duit royalti itu telah ditukarkan kepada wang ehsan, yang diberikan terus kepada pemimpin Umno di negeri Terengganu dan bukannya badan-badan di bawah kerajaan negeri.


Terengganu perlu perjelaskan

Sementara itu, wartawan Muhammad Faizal melaporkan, Parti Keadilan Rakyat (PKR) percaya rakyat Terengganu memerlukan penjelasan segera berhubung tindakan Kerajaan Terengganu mengugurkan tindakan undang-undang terhadap Petronas bersabit bayaran royalti minyak.

Menurut, Setiausaha Agong PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail (gambar) tindakan undang-undang ini telah dimulakan oleh Kerajaan Terengganu pada Mac 2001 dan berlarutan selama sebelah tahun itu adalah ekoran daripada keengganan Petronas dan kerajaan pusat meneruskan bayaran royalti sepertimana perjanjian 1975.

"Perkembangan terbaru ini memerlukan beberapa penjelasan yang harus dibuat oleh kerajaan Terengganu, Petronas dan juga kerajaan persekutuan.

"Apakah terma-terma penyelesaian yang telah dipersetujui oleh kerajaan Terengganu, Petronas dan kerajaan Malaysia yang membawa kepada tindakan penyelesaian di luar mahkamah," persoalnya.

Tambahnya lagi, rakyat juga ingin tahu berapakan jumlah bayaran sebenar yang diperolehi kerajaan Terengganu hasil penyelesaian cara ini.

"Berapakah terimaan sebenar wang ehsan dan wang royalti yang diterima kerajaan Terengganu mulai 2001 sehingga 2011 memandangkan perbedaan harga minyak dunia di antara USD20 setong sehingga USD100 setong sepanjang tempoh tersebut.

"Kita juga ingin tahu ke dalam akaun mana wang ini dimasukkan samada kumpulan wang disatukan kerajaan negeri atau digunakan terus untuk membiayai politik Umno dan Barisan Nasional seperti Monsoon Cup, Masjid Kristal atapun yang lain-lain," tambah beliau.

Saifuddin menyatakan rakyat sedia maklum dolak dalih kerajaan persekutuan terhadap isu wang ehsan dan royalti ini sebenarnya terbit daripada dengan politik Umno-Barisan Nasional apakala tumpas di Terengganu pada 1999-2004.

"Menarik balik tindakan undang-undang terhadap Petronas dan kerajaan persekutuan yang dilakukan oleh kerajaan Terengganu hari ini tidak sama sekali menamatkan faktor ketidaktentuan dalam isu royalti.

"Ini kerana kiranya berlaku peralihan politik dan kerajaan Terengganu pimpinan Umno-Barisan Nasional tumpas pada pilihanraya yang akan datang tidak semestinya kerajaan baru nanti terikat dengan terma-terma penmyelesaian dan jumlah bayaran yang dibuat sekarang," sambungnya.

Beliau berharap penjelasan tentang terma penyelesaian yang dibuat telus dan terbuka dan jumlah bayaran yang diterima kerajaan Terengganu dari hasil minyak ini bukanlah terlalu sukra untuk dibuat kiranya kerajaan Terengganu benar-benar bertanggungjawab dan menghormati rakyat.


LAPORAN BERKAITAN

T'ganu gugur saman royalti minyak secara senyap

Tags: ,

Renungan

Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimah yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya (menjulang) ke langit, pohon itu memberikan buahnya pada setiap musim dengan izin Tuhannya. Allah membuat perumpamaan-perumpamaan itu untuk manusia supaya mereka selalu ingat. Dan perumpamaan kalimah yang buruk seperti pohon yang buruk, yang telah dicabut dengan akar-akarnya dari permukaan bumi; tidak dapat tetap (tegak) sedikitpun.

1 comments

  1. Tak payah nak suruh terangkan apa2..Tunggulah 'durian runtuh' utk rakyat Terengganu...dan rakyat Terengganu pun lupa lah akan hal royalti tu..

Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...