Banglo musnah, rugi RM1j
Hanafiah (tiga kanan) bersama ahli Unit Amal MTD Chukai melihat keadaan dalam rumah banglo Haslina dan Kamaruddin yang musnah dijilat api.
GELIGA – “Sebab beg mekap tertinggal, saya dan suami berpatah balik ke rumah sebelum lihat asap tebal berkepul-kepul keluar dari bumbung rumah,” kata pemilik kedai hiasan dalaman, Haslina Abu Zidin, 53, yang kerugian hampir RM1 juta selepas rumah banglonya sekeluarga dijilat api kelmarin.

Kira-kira 90 peratus rumah terbabit musnah dengan hampir semua perabot berjenama, barangan elektrik, pakaian baru dan barangan berharga lain tidak dapat diselamatkan.

Kebakaran kira-kira jam 12.15 tengah hari itu disedari suaminya, Kamaruddin Ahmad, 55, sejurus mereka berdua pulang semula ke rumah untuk mengambil beg mekap yang tertinggal setelah mengambil langsir yang ditempah pelanggan di kedai milik mereka yang terletak kira-kira 300 meter dari rumah.

Haslina berkata, dia dan suaminya keluar dari rumah pada jam 11.30 pagi untuk menghantar langsir ke Kuala Lumpur yang ditempah pelanggan.

“Apabila sampai di pekarangan rumah, kebetulan pula ada orang menelefon saya, jadi suami yang keluar dari kereta untuk mengambil beg mekap.

“Namun, waktu suami buka pintu rumah dia tercium bau hangit, lalu suami buka satu lagi pintu dan terlihat asap hitam memenuhi ruang sebelum dia menjerit rumah terbakar," katanya.

Mujur semua selamat

Kata ibu empat anak itu, asap tebal dan api yang menjulang serta marak dengan cepat menyebabkan dia dan suami tidak berani untuk masuk ke dalam rumah bagi mengeluarkan barang berharga.

Pun begitu, Haslina bersyukur kerana ketika kejadian empat anaknya tiada di rumah kerana tiga anak lelakinya, Mohd Hafiz, 28, Mohd Hakimi, 23, dan Mohd Hazwan, 21, bekerja di kedai mereka sementara anak perempuan tunggalnya, Nurul Atiqah, 14, berada di sekolah.

Sementara itu, Haslina mengakui sejak beberapa bulan kebelakangan ini dia berasa tidak sedap hati seolah-olah sesuatu yang tidak baik akan menimpa keluarganya.

“Sebelum ini sudah banyak tragedi saya alami termasuk anak lemas dan turut berpesan pada amereka agar sentiasa hati-hati. Tapi tak sangka pula rumah akan terbakar dan sekelip mata ia musnah,” katanya lagi.

Tindakan Haslina dan suaminya untuk berpatah balik semula ke rumah juga ada hikmah kerana jika kebakaran itu tidak disedari awal, kemungkinan rumah jiran di kiri dan kanan turut terbakar.

Sementara itu, Unit Amal Majlis Tindakan Dun (MTD) Chukai yang diketuai Pengarahnya, Hanafiah Mat turut meluangkan masa menziarahi mangsa.

Kamaruddin sekeluarga kini tinggal buat sementara waktu di sebuah rumah yang dijadikan stor menyimpan perabot jati terletak di hadapan rumah mereka yang terbakar.

Mana-mana pihak mahu menyumbang boleh menghubungi talian 019-917 5488 (Haslina) atau 016-986 5488 (Kamaruddin).