Kerajaan Arab Saudi tolak permohonan 40 negara


http://www.buletinonline.net/images/stories/aberita3/alhajjar.jpgKerajaan Arab Saudi telah menolak permohonan daripada 40 negara bagi mendapatkan tambahan kuota haji tahun ini disebabkan kerana kerja-kerja pembangunan kini sedang dijalankan di kota-kota suci Makkah dan Madinah, lapor akhbar-akhbar harian negara itu semalam.

"Kementerian (Haji) telah meminta maaf kepada semua negara yang meminta jumlah jemaah dari negara mereka ditambah... (kerana) projek pembangunan gergasi di Makkah dan Madinah menyukarkan (kami) menampung lebih ramai (jemaah)," jelas Menteri Haji, Bandar al-Hajjar, seperti ditukil dalam laporan agensi berita AFP.

Setiap negara yang mempunyai penduduk Islam diberi kuota 1,000 jemaah bagi setiap sejuta penduduk Islamnya.

Sistem kuota haji dilaksanakan setelah percubaan polis Arab Saudi mengekang bantahan oleh sekumpulan jemaah Iran yang mengadakan tunjuk perasaan anti-Amerika Syarikat dan anti-Israel pada 1987 mencetuskan pertempuran yang mengakibatkan 402 orang terkorban, termasuk 275 warga Iran.

Tahun lalu, hampir tiga juta jemaah menunaikan ibadah haji.

Pihak berkuasa Arab Saudi tidak memberikan sebarang isyarat bahawa ia dapat menampung lebih ramai jemaah tahun ini.

Raja negara itu, Raja Abdullah, telah secara rasmi melancarkan projek membesarkan Masjidil Haram di Makkah bernilai AS$10.6 bilion ($12.98 bilion).

Kemuncak musim haji tahun ini dijangka berlaku pada atau sekitar 25 Oktober, apabila jemaah haji dijangka melaksanakan ibadah wukuf di Arafah.

Akhbar Berita Harian Malaysia Isnin lalu melaporkan bahawa Malaysia telah mengemukakan rayuan sebanyak dua kali kepada kerajaan Arab Saudi bagi mendapatkan 10,000 kuota tambahan jemaah bagi tahun ini.

Sementara itu, laman berita Jakarta Globe melaporkan pada 10 September lalu bahawa Menteri Ehwal Agama Indonesia, Encik Suryadharma Ali, berkata negara itu juga gagal mendapatkan kuota tambahan tahun ini walaupun berjaya memperoleh 10,000 tempat tambahan tahun lalu.
Tags: ,

Renungan

Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimah yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya (menjulang) ke langit, pohon itu memberikan buahnya pada setiap musim dengan izin Tuhannya. Allah membuat perumpamaan-perumpamaan itu untuk manusia supaya mereka selalu ingat. Dan perumpamaan kalimah yang buruk seperti pohon yang buruk, yang telah dicabut dengan akar-akarnya dari permukaan bumi; tidak dapat tetap (tegak) sedikitpun.

0 comments

Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...