Kadar jenayah tetap meningkat, Wan Azizah lancar kempen FB

July 31, 2012
PETALING JAYA, 31 Julai — Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini kekal dan tidak berganjak dengan pendiriannya bahawa kadar jenayah di negara ini sememangnya semakin meningkat.
Jelas Wan Azizah, tindakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan Ketua Pegawai Eksekutif Pemandu, Datuk Seri Idris Jala menghabiskan masa sepanjang Julai ini hanya sekadar  mempertikaikan kenyataan PKR bahawa kadar jenayah meningkat menunjukkan jenayah meningkat.
“Mereka sebaliknya yakin, jenayah adalah di bawah kawalan dan menurun kerana mereka masih menunjukkan statistik jenayah yang disediakan oleh Pemandu,” katanya.
“Namun, pada masa sama mereka mengumumkan beberapa inisiatif baru untuk memerangi kadar jenayah,” katanya merujuk kepada program seperti MyDistress, Semakan Jenayah Online, meningkatkan pengambilan Rakan Cop dan pembiayaan serta jawatan kuasa khas mengenai mangsa jenayah walaupun ia masih lagi dalam perancangan.
Justeru itu, semua pengumuman berhubung inisiatif baru untuk memerangi jenayah jelas isteri kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim itu  adalah bukti kenyataan PKR itu adalah benar, bahawa kadar jenayah negara ini semakin meningkat.
Awal bulan ini, bekas ketua polis negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan berkata kepada The Malaysian Insider bahawa kadar jenayah di Malaysia sememangnya telah meningkat dan meminta agar pihak berkuasa tidak menyorokkan fakta sebenar kepada orang ramai.
Sehubungan itu, Wan Azizah melancarkan kempen menentang jenayah melalui Facebook di sini.
“Sebagai seorang ibu dan juga wanita bergelar nenek, saya menyeru agar semua wanita turut sama berkempen melalui halaman Facebook ini,” katanya lagi.
Menurut beliau, laman Facebook ini terbuka kepada semua wanita bagi memberikan sokongan terhadap kempen mengurangkan jenayah sekaligus berkongsi idea bagaimana untuk membanteras kadar jenayah di Malaysia.
“Inilah peluang kita bekerjasama dalam menyedarkan rakyat negara ini mengenai keselamatan dalam negara sendiri,” tambahnya lagi.


http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/kadar-jenayah-tetap-meningkat-wan-azizah-lancar-kempen-fb/
Tags: ,

Renungan

Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimah yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya (menjulang) ke langit, pohon itu memberikan buahnya pada setiap musim dengan izin Tuhannya. Allah membuat perumpamaan-perumpamaan itu untuk manusia supaya mereka selalu ingat. Dan perumpamaan kalimah yang buruk seperti pohon yang buruk, yang telah dicabut dengan akar-akarnya dari permukaan bumi; tidak dapat tetap (tegak) sedikitpun.

0 comments

Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...