Minta warga Kemaman perjuangkan Islam
GELIGA – Pas Kemaman merayu rakyat di daerah ini agar membuat perubahan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan datang dan menolak Umno.
Yang Dipertuanya, Ismail Harun berkata, masyarakat perlu ambil tahu dan memahami penyelewengan wang negara yang didakwa dilakukan pemimpin Umno dan BN.
“Jadi kita adakan Himpunan Tolak Umno (HTU) agar masyarakat faham akan penyelewengan yang telah berlaku.
“HTU ini juga menghimpunkan masyarakat di seluruh Kemaman agar sama-sama dapat memberi sokongan memperjuangkan Islam,” katanya ketika berucap pada ceramah sempena HTU yang diadakan di Dataran Tok Guru, dekat sini.
Turut memberi ceramah, Naib Presiden PKR, Datuk Chua Jui Meng dan Pengerusi DAP Terengganu, Ng Chai Heng.
Hadir sama Penolong Setiausaha Pas Terengganu merangkap Pengarah Pas Dun Chukai, Hanafiah Mat.
Ismail turut menyeru semua ahli dan penyokong PR sama-sama bekerja untuk memenangkan PR pada PRU13 nanti.
“Kita yakin PR akan dapat menguasai Putrajaya dengan sokongan padu ahli dan penyokong yang mahukan perubahan,” katanya.
Sementara itu, Jui Meng mendakwa rasuah bermaharajalela di negara ini hingga mengakibatkan rakyat menjadi miskin.
“Malaysia kaya raya, mempunyai hasil laut banyak ditambah dengan hasil petroleum di Terengganu, Sabah dan Sarawak tetapi jika dibandingkan dengan Singapura saiz ekonomi negara jiran kita ini lima kali ganda walaupun mereka hanya mempunyai lima juta penduduk dan negara ini mempunyai 28 juta penduduk,” katanya.