Salam Reformasi PGU
KEMAMAN: 10 Dis- Jika kita melihat aktiviti dan program-program yang dibuat dan dilaksanakan oleh Majlis Tindakan Dewan Undnagan Negeri (MTD) Chukai, teringatlah akan cerita Allahyarham Tan Sri P. Ramlee iaitu filem ‘Nujum Pak Belalang’.
Dalam cerita tersebut terdapat satu dialog antara Ahli Nujum Pak Belalang (P.Ramlee) dengan Ahli Nujum (terlupa nama) lakonan ‘Haji Bakhil’ yang menyebut “Jarang-Jarang….Kadang-Kadang….Banyak-Banyak”.
Maka, bolehlah kita simpulkan yang idea kreatis Pengarah MTD Chukai, Haji Hanafiah Mat ini dengan perbuat yang jarang orang buat. (LIHAT LAMPIRAN FOTO)
Haji Hanafiah berkata Dun Chukai merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang turut serta menjayakan beberapa program dari 8 hingga 10 Disember 2011, lalu.
Ini kerana, katanya pihak Jabatan Amal Terengganu telah memilih Dun Chukai untuk diadakan Jambori Amal Negeri yang diadakan di tepi pantai Dataran Tok Guru, Geliga Besar dari 8 hingga 10, Disember.
Manakala, kata beliau pihak MTD Chukai pula mengadakan aktiviti berkhatan beramai-ramai yang melibatkan 110 orang kanak-kanak di Surau Haji Muda, Geliga.
“Saya ucap terima kasih kepada pihak Jabatan Amal Terengganu yang memilih Dun Chukai ini untuk diadakan Jambori Tahunan Amal Terengganu di Pantai Dataran Tok Guru, Geliga Besar.
“Kita (MTD Chukai) juga mengadakan program berkhatan beramai-ramai di Surau Haji Muda, Geliga dengan menyertaan 110 orang kanak-kanak dan cukup meriah,” ujarnya kepada Harakah.
Tinjauan Harakah secara langsung melihat para peserta berkhatan dikumpulkan di Dataran Tok Guru, Geliga sebelum diarak ke lokasi program.
Kanak-kanak tersebut diarak menaiki sebuah trelar panjang yang dikawal oleh anggota Unit Amal seramai lebih 200 orang sambil berselawat.
Ketibaan ‘rombongan’ ini disambut dengan tarian seni silat Melayu yang diundang khas dari Kampung Bakau Tinggi, Chukai.
Aksi dua pesilat veteran tersebut mencuit hati kanak-kanak, ibubapa serta orang ramai dengan aksi dan lagak yang melucukan.
Selepas itu, pihak penganjur MTD Chukai mengagihkan pula hamper serta ditambah dengan wang tunai RM5.00 seorang dari Muslimat Dun Chukai sebagai saguhatinya yang keseluruhan bernilai RM25.00 seorang.
Manakala, pendaftaran berkhatan pula dikenakan caj bayaran sebanyak RM50.00 seorang kecuali anak-anak yatim.
Orang ramai pula dijamu dengan jamuan rakyat setelah pihak penganjur mengorbankan dua ekor lembu bagi memeriahkan suasana majlis.
Bahkan, masakan bubur ‘as-syura’ juga disediakan secara gotong-royong dengan pihak cawangan PAS, MTD dan Unit Amal.
Kanak-kanak yang sedang menunggu giliran berkhatan dipertontonkan dengan tayangan VCD animasi Upin & Ipin sebagai hiburan sebelum giliran dipanggil.
Pelbagai aksi dan gelagak kanak-kanak berkhatan kerana ada yang ‘biasa-biasa’, ada yang ‘menangis’, ada yang ‘takut-takut’ dan ada yang 20 kali berulang-alik ke tandas walau pun selepas dibiuskan.
Pada sebelah malamnya, diadakan pula Ceramah Umum Isu-Isu Semasa yang diadakan di Dataran Surau Haji Muda dengan ahli panelnya, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut, Timbalan Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Azman Shapawi Abdul Rani dan Pengarah MTD Chukai, Haji Hanafiah Mat.
Meski pun, dalam keadaan cuaca yang tidak menentu tetapi aktiviti ceramah tersebut diteruskan dan para hadirin memenuhi ruang-ruang khemah yang disediakan.
Kesimpulannya, para ibubapa dan orang ramai yang melihat serta mengikuti perkembangan program dari pagi hingga ke tengah malam (12.00 tengah malam) selepas ceramah, memuji kejayaan penganjurannya.
Orang ramai berpendapat PAS boleh melaksanakan pelbagai aktiviti dan program dengan penuh kemeriahan walau pun bukan lagi bergelar kerajaan.
Ini bermakna, jika PAS Terengganu dan Dun Chukai berjaya ditawan kembali oleh PAS dan Pakatan Rakyat, rakyat bakal menikmati keadilan pemerintahan Parti Islam SeMalaysia (PAS).
0 comments