KUALA LUMPUR, 4 Okt — Bajet alternatif yang diumumkan oleh Pakatan Rakyat hari ini mengumumkan pihaknya akan menubuhkan Suruhanjaya Perjanjian Awam Negara untuk menilai kembali konsesi-konsesi tidak adil bagi menghentikan herotan kos operasi dan perniagaan yang ditanggung oleh rakyat dan niagawan.
Selain itu, Pakatan Rakyat juga mengumumkan pihaknya akan meminda Akta Persaingan 2011 supaya turut meliputi sektor-sektor penyiaran, telekomunikasi dan tenaga dan sektor bermonopoli lain untuk memecahkan monopoli.
“Sasaran pengurangan pekerja asing yang jelas menjelang 2015 mengikut sektor ekoran pengenalan gaji minimum,” kata ucapan Bajet 2012 yang diumumkan oleh Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) hari ini.
Selain itu, baket Pakatan Rakyat juga mengumumkan pemberian elaun penjagaan anak sebanyak RM1,000 setahun kepada ibu-ibu yang layak untuk menggalakkan penyertaan lebih ramai wanita dalam tenaga kerja dan ia akan dipadankan dengan pelaburan kerajaan untuk membina pusat penjagaan kanak-kanak yang menepati piawaian.
Sambil menekankan seluruh rancangan ekonomi perlu dijalankan seiringan dengan proses reformasi politik dan pentadbiran, Anwar berkata Bajet 2012 oleh Pakatan Rakyat akan melaksanakan perkara-perkara berikut untuk mengukuhkan lagi arus reformasi rakyat, antara lain melaksanakan sepenuhnya janji-janji dalam Buku Jingga termasuk pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri, akta-akta bersabit media dan percetakan, Akta Rahsia Rasmi dan Akta Universiti dan Kolej Universiti.
Malah kata beliau, Pakatan Rakyat juga akan membentangkan Akta Pemulihan Demokrasi seperti yang dicadangkan Pakatan Rakyat dalam 2011 untuk memansuhkan semua peruntukan undang-undang yang bertentangan dengan amalan demokratik.
Katanya, pihaknya juga akan segera melaksanakan serta-merta semua tuntutan Bersih 2.0.
Selain itu kata Anwar, perikatan itu juga akan merombak Jabatan Perdana Menteri dengan menaik taraf jabatan-jabatan bersabit tata kelola dan pertanggungjawab nasional seperti Suruhanjaya Pilihan Raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Biro Pengaduan Awam dan lain-lain supaya bertanggungjawa terus kepada Parlimen.
“Pengenalan laporan setengah tahun perbelanjaan dan prestasi kewangan negara yang dibentangkan ke Parlimen bersama-sama dengan laporan Ketua Audit Negara dan pembentukan tujuh Jawatankuasa Parlimen untuk membahaskan belanjawan di peringkat jawatankuasa secara terperinci,” katanya lagi.
0 comments