Pemuda PAS: Batal terus cukai enam peratus kad prabayar


September 13, 2011

KUALA LUMPUR, 13 Sept — Dewan Pemuda PAS menggesa Putrajaya membatalkan terus cukai perkhidmatan enam peratus ke atas pengguna kad prabayar demi kepentingan rakyat khasnya warga muda dan berharap kerajaan sebagai penerima hasil cukai akan mengkaji mekanisme percukaian yang lebih efektif.

Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan (gambar) berkata, jika sistem cukai enam peratus diteruskan, golongan yang paling menerima kesan adalah golongan muda, pelajar dan golongan berpendapatan rendah yang terpaksa mengikat perut menghadapi kos sara hidup yang makin tinggi berbanding pihak kerajaan yang terus mengaut hasil cukai atas keperitan rakyat.

“Dewan Pemuda PAS juga berpendapat, impak langsung cukai ini kepada golongan pengguna adalah sama dengan impak cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang akan diperkenalkan oleh kerajaan dalam masa terdekat,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Mengikut pengumuman 8 September lalu, pihak syarikat telekomunikasi akan mengenakan cukai perkhidmatan enam peratus secara terus kepada pengguna bagi setiap transaksi tambah nilai dan pembelian pek permulaan bermula Khamis ini.

Kadar enam peratus ini sebenarnya telah diperkenalkan oleh pihak kerajaan semenjak 1998 dan telah dikenakan secara terus kepada pengguna sistem pascabayar dan diserap oleh syarikat telekomunikasi bagi penggunaan sistem prabayar bagi memastikan kadar pakej yang kompetitif dan mampu milik, kata beliau.

Sehubungan itu, Nasrudin berkata pihaknya berpendapat bahawa impak penyerapan cukai ini kepada syarikat telekomunikasi adalah minimum, sebagaimana yang dianggarkan oleh Maybank Investment dalam nota kajian bertarikh 9 September lalu, yang menganggarkan penurunan pendapatan sekitar satu hingga empat peratus oleh syarikat telekomunikasi terbabit dan AmReseach pula menganggarkan impak kepada EBITDA (keuntungan operasi) adalah sekitar dua peratus sahaja.

“Justeru, pihak Dewan Pemuda PAS menggesa pihak kerajaan sebagai pihak yang bertanggungjawab memperkenal dan mengutip hasil cukai ini agar tidak mengambil kesempatan untuk mengaut laba daripada penggunaan telekomunikasi yang tidak anjal dan mengharapkan cukai perkhidmatan enam peraus ini terus dimansuhkan sebagai tanda prihatin kepada generasi muda dalam Bajet 2012, yang akan diumumkan pada Oktober ini,” kata beliau.

Nasrudin berkata, jika pihak kerajaan sekarang tidak mampu melaksanakan, Dewan Pemuda PAS begitu yakin pihak kerajaan Pakatan Rakyat mampu melaksanakannya jika diberi mandat oleh rakyat bersesuaian dengan agenda Membangun Negara Berkebajikan yang ditawarkan oleh PAS.

Semalam, syarikat-syarikat telekomunikasi bersetuju menangguhkan caj cukai perkhidmatan enam peratus terhadap pengguna perkhidmatan talian telefon prabayar.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata persetujuan itu diputuskan secara bersama oleh empat pengendali utama telekomunikasi.

“Setelah mengadakan perundingan dengan syarikat-syarikat telekomunikasi utama yang terlibat dengan isu cukai perkhidmatan, kesemuanya telah bersetuju supaya cukai perkhidmatan enam peratus yang akan dikenakan kepada pengguna ditangguhkan dan tidak lagi dikuatkuasakan seperti yang diumumkan sebelum ini.

“Perbincangan melibatkan pengurusan utama Celcom, Maxis, Digi dan U Mobile berlangsung dalam suasana cukup baik, mereka menerima baik nasihat kementerian, pandangan kerajaan serta sentimen yang dilahirkan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak),” katanya.

Rais berkata penangguhan itu bagi membolehkan kajian semula dibuat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan syarikat telekomunikasi berkenaan bagi menentukan bila perkhidmatan itu wajar dikenakan cukai serta kadar yang boleh dikenakan.

Rais berkata bagi menghargai syarikat telekomunikasi yang membayar RM6 bilion melalui hasil cukai perkhidmatan kepada kerajaan sejak 1998 serta peranannya dalam memberikan perkhidmatan telekomunikasi kepada hampir 26 juta pengguna telefon prabayar di negara ini, beliau akan menyarankan agar kerajaan memberikan penghargaan atas sumbangan tersebut.

themalaysianinsider

Tags: ,

Renungan

Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimah yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya (menjulang) ke langit, pohon itu memberikan buahnya pada setiap musim dengan izin Tuhannya. Allah membuat perumpamaan-perumpamaan itu untuk manusia supaya mereka selalu ingat. Dan perumpamaan kalimah yang buruk seperti pohon yang buruk, yang telah dicabut dengan akar-akarnya dari permukaan bumi; tidak dapat tetap (tegak) sedikitpun.

0 comments

Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...