Serbuan JAIS: Penjelasan Harapan Komuniti

Ogos 10, 11 1:58pm
Kongsi 101
Harapan Komuniti - NGO yang menganjurkan majlis makan malam amal yang diserbu oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada 3 Ogos lalu kerana didakwa ada kegiatan penyebaran agama bukan Islam terhadap penganut agama Islam - hari ini tampil membuat penjelasan tentang apa yang berlaku pada malam tersebut.

Pengarah eksekutif NGO itu - yang membantu golongan miskin dan 'melarat' dan penghidap HIV dan AIDS - Raymond Koh berkata majlis kesyukuran/makan malam amal itu dihadiri penderma, rakan-rakan serta penerima bantuan Harapan Komuniti" sebelum ia diserbu 30 pegawai penguatkuasa JAIS dan polis.

Katanya, Harapan Komuniti adalah sebuah pertubuhan bukan keuntungan, yang berkhidmat untuk membawa kasih sayang, harapan, keamanan dan maruah kepada golongan yang memerlukan, orang miskin, kanak-kanak, wanita dan penghidup HIV dan AIDS.

"Kami membantu orang ramai, tanpa mengira bangsa, agama atau kepercayaan. Harapan Komuniti adalah rakan kepada Majlis AIDS Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pada hari berkenaan (Rabu 3 Ogos 2011), Harapan Komuniti hanya mengadakan majlis kesyukuran/makan malam amal untuk mengumpul dana di premis DUMC (Gereja Methodist Damansara Utama).

Majlis makan malam tersebut, jelasnya, dihadiri oleh penderma, rakan-rakan dan penerima bantuan Harapan Komuniti.

Koh berkata, kira-kira 120 orang dari pelbagai latar belakang, menghadiri majlis makan malam tersebut dan dijamu dengan hidangan yang disediakan oleh orang Islam, diikuti dengan persembahan tarian 1Malaysia, kuiz, dan pelaporan oleh individu.

Harapan Komuniti juga, tambahnya, mengadakan doa umum.

"Kira-kira jam 9.30 malam, kira-kira 30 pegawai JAIS dan polis, ada yang berpakaian seragam manakala yang lainnya berpakaian biasa, datang ke premis tersebut tanpa kebenaran atau tanpa waran menggeledah," katanya.

Berikutan itu, kata Koh, Harapan Komuniti terus bertanya kepada pegawai JAIS sama ada mereka mempunyai sebarang waran.

"... dan walaupun ditanya berulangkali, pegawai JAIS enggan menunjukkan kepada kami sebarang waran mengeledah atau untuk tangkapan," katanya.

Menurut Koh lagi, mereka masuk ke dalam dewan dan mengambil gambar, video dan malah membuang risalah dari pelbagai laci dan kabinet di dalam dewan tersebut, tanpa sebarang kebenaran pihaknya mahupun pemilik premis DUMC.

Sementara itu, peguam Harapan Komuniti, Annou Xavier pula berkata Malaysia sepatutnya bernasib baik kerana mempunyai pertubuhan seperti Harapan Komuniti yang memberi "harapan" kepada golongan yang memerlukan, orang miskin dan golongan terpinggir.

Bagaimanapun, katanya, pada "malam yang malang itu", JAIS sebaliknya menyerbu majlis amal kesyukuran tersebut, atas andaian bahawa berlaku kes penukaran agama.

"Harapan Komuniti telah membantu ramai rakyat Malaysia yang miskin dan melarat, tanpa mengira kaum, agama, kepercayaan, namun JAIS telah bertindak mengganggu sebuah majlis yang berjalan dengan aman dan harmoni pada 3 Ogos," tambahnya.

Menurut Annou lagi, Harapan Komuniti adalah sebuah organisasi '1 Malaysia' dalam erti kata yang sebenarnya, di mana ahli lembaganya terdiri daripada seorang Melayu, Mohd Rahim Bin Ithnen; seorang Cina, Raymond Koh dan seorang India, Sri Ram a/l KS Gopal, untuk membantu semua kaum, agama serta kepercayaan dan bukan hanya memuji-muji '1 Malaysia' sebagai satu slogan semata-mata.

Beliau berharap serbuan yang tidak munasabah seperti ini, tidak akan berlaku pada masa yang akan datang, yang menyebabkan kebimbangan yang tidak perlu dan trauma kepada rakyat Malaysia yang cintakan keamanan

Malaysiakini
Tags: ,

Renungan

Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimah yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya (menjulang) ke langit, pohon itu memberikan buahnya pada setiap musim dengan izin Tuhannya. Allah membuat perumpamaan-perumpamaan itu untuk manusia supaya mereka selalu ingat. Dan perumpamaan kalimah yang buruk seperti pohon yang buruk, yang telah dicabut dengan akar-akarnya dari permukaan bumi; tidak dapat tetap (tegak) sedikitpun.

0 comments

Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...