KEMAMAN - Polis digesa melakukan siasatan secara telus dan terperinci bagi mengesan dan menangkap suspek yang memasang kamera tersembunyi dalam tandas perempuan di sebuah sekolah menengah terkemuka di bandar Chukai dekat sini.
Penolong Setiausaha PAS Terengganu Haji Hanafiah Mat berkata ia adalah penting bagi memberi kesedaran kepada mereka yang terlibat sekaligus bagi memastikan kes sedemikian tidak berulang lagi.
[Gambar kanan - Haji Hanafiah menunjukkan berita 'kamera dalam tandas sekolah' yang telah disiarkan oleh akhbar-akhbar Cina beberapa hari lalu. Paling kiri adalah pelajar yang telah menjumpai kamera tersebut]
"Kita harap polis dapat siasat secara 'detail' dan telus, tidak kira siapa yang terlibat, tak kira bangsa, tak kira agama,
"polis perlu siasat dan tahan sesiapa yang terlibat, bagi memastikan ia tidak berulang,"ujarnya ketika di temui.
Beliau yang juga Pengarah Majlis Tindakan DUN Chukai menyifatkan, ia adalah satu bala yang memalukan menimpa sistem pendidikan, kerajaan Terengganu dan kerajaan Pusat khususnya Umno dan Barisan Nasional (BN).
Katanya, Menteri Besar selalu berbangga diri dengan keputusan-keputusan yang cemerlang kononnya setiap tahun, namun jelas akhlak dan moral pelajar semakin meleset.
"Ia jelas satu malapetaka kepada sistem pendidikan dan kerajaan Umno/BN yang gagal membentuk akhlak serta moral pelajar, cukup mengaibkan,
"Menteri Besar Ahmad Said selalu berbangga-bangga kononnya pencapaian hebat pendidikan Terengganu, tapi inilah dia natijahnya,"jelas Haji Hanafiah.
Menurutnya, nilai moral pelajar ketika ini semakin rapuh disebabkan pelajar dan remaja hari ini banyak disogokkan dengan hiburan yang melalaikan yang hanya mendidik golongan muda dengan keseronokan semata-mata.
[Gambar kiri - kamera berbentuk penyangkut baju, sebagaimana yang digambarkan]
Beliau menyarankan dasar dan falsafah pendidikan sekarang dikaji dan dirombak memandangkan kes-kes yang melanda sekolah dan sistem pendidikanmasa kini.
“sudah tiba masanya, dasar dan falsafah pendidikan negara sekarang ini perlu diubah agar ia lebih menitik beratkan kerohanian agar pelajar yang dilahirkan juga cemerlang dalam aspek ketuhanan.
"saya juga cadangkan pelajar yang mahu melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi perlua mendapat A bagi subjek Pendidikan Islam sebagaimana mereka perlu mendapat cemerlang dalam subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan subjek lain,"kata Hanafiah.
Menurutnya, bila diberi penekanan soal agama, akhlak dan moral, barulah dapat dilahirkan pelajar yang bertakwa yang gerun untuk melakukan perbuatan mungkar.
"Sekarang hukuman rotan atau penjara orang sudah tidak takut sebab itulah sekarang dalam penjara penuh dengan pesalah,”tambahnya
Pada 31 Julai lalu, sebuah kamera tersembunyi telah dijumpai terpasang dalam tandas pelajar perempuan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail 2.
Seorang pelajar, Hee Sin Yee, 17, merasa pelik melihat 'penyangkut baju' dilekatkan di kedudukan rendah di pintu tandas lalu mencabutnya.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat Salat berkata, polis percaya suspek yang memasang kamera berbentuk 'penyangkut baju' itu adalah terdiri dalam kalangan pelajar sekolah itu sendiri.
Menurutnya, kad memori kamera itu telah pun dihantar untuk dianalisis di makmal forensik polis di Cheras, Kuala Lumpur pada minggu lalu dan keputusan dijangka diketahui dalam tempoh sebulan.
“Siasatan awal yang kita jalankan turut dapati di dalam kad memori itu terdapat gambar pelajar perempuan, justeru kita percaya kamera berbentuk penyangkut baju itu telah merakam beberapa gambar sebelah ia dijumpai,” katanya
Bagaimanapun, katanya, sehingga kini sebarang tangkapan masih belum dibuat dan polis masih lagi menjalankan siasatan terperinci.
terengganu,
terkini
»
~ Kamera dalam tandas perempuan sekolah; PAS gesa siasatan rapi ~
0 comments