Duta Amerika Syarikat ke Malaysia memaklumkan kepada pemerintahnya awal tahun lalu bahawa pegawai-pegawai kedutaan meragui penjelasan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai kecurian enjin jet pejuang F-5 milik TUDM pada 2008, demikian menurut maklumat yang didedahkan oleh WikiLeaks.
Dokumen yang ditandatangani oleh Duta James Keith itu berkata kedutaannya berkongsi 'kesangsian' yang diluahkan oleh satu siri komen media dalam talian mengenai pendirian Putrajaya bahawa enjin jet itu dicuri oleh dua individu berpangkat rendah dan pihak di peringkat tinggi tidak terlibat sama sekali.
'Kami berkongsi beberapa kesangsian yang dilahirkan oleh blog-blog mengenai kes kerajaan dan penjelasan siapa di sebalik kecurian enjin,' kata dokumen tersebut.
'Dalam (proses) penyelarasan dengan pihak Washington, Post terus menekankan untuk mendapatkan laporan lengkap bagaimana kecurian itu berlaku dan penempatan muktamad enjin-enjin (jet pejuang), serta untuk mengingatkan GOM (kerajaan Malaysia) tentang keseriusan isu itu dan keperluan mengambil tindakan pembetulan,' kata kabel yang disiarkan oleh laman blog Malaysia Today, semalam, dan ditukil oleh laman berita The Malaysian Insider pada hari yang sama.
Difahamkan, 'Post' merujuk kepada seorang pegawai politik Amerika yang mempunyai pejabat di kedutaan di Kuala Lumpur.
Mahkamah Sesyen sedang mendengar kes Sarjan N. Tharmendran dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan ahli perniagaan, K. Rajandran Prasad, yang menghadapi pertuduhan bersubahat mencuri dan melupuskan enjin pesawat milik TUDM itu.
Pada 6 Januari tahun lalu, Tharmendran, 42 tahun, tidak mengaku salah terhadap tuduhan bersubahat dengan Laskar Udara Mohamad Shukri Mohamad Yusop, mencuri dua enjin pesawat F5 jenis J85-21 di Bangunan Material Processing Shed Matra 1, Pangkalan Udara TUDM Sungai Besi, di sini, pada 30 April 2008.
Rajandran, 38 tahun, pengarah sebuah syarikat pembekalan, pula tidak mengaku salah terhadap tuduhan dengan sengaja menghapuskan dua enjin TUDM itu di alamat 49 Jalan TS 6/6 Taman Industri Subang pada 30 April 2008.
Kededua enjin itu dibeli pada 1972 dengan harga RM303,570 ($123,644), dan bukannya RM50 juta seperti dilaporkan pada awalnya.
0 comments