Adakah sistem biometrik yang diperkenalkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bakal membasmi penyelewengan "pengundi hantu", dalam pilihan raya yang akan datang? Pakar dalam bidang biometrik mengakui bahawa dari segi teknikalnya, ia adalah mudah, digunakan secara umum, malah kosnya tidak tinggi, namun sistem ini gagal membasmi penyelewengan sepenuhnya.
Teh Hon Seng (gambar kanan) yang berkecimpung dalam sistem biometrik berkata, sistem ini telah wujud di negara kita, iaitu cap jari dan maklumat yang terkandung dalam MyKad. Beliau mengambil contoh bagaimana MyKad dan cap jari sudah memadai apabila kita menyemak akaun kita di bank mahupun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja. Identiti pemilik MyKad boleh dikenalpasti kerana Mykad mengandungi maklumat cap jari pemiliknya.
Maka beliau menjangkakan tiada masalah besar seandainya sistem ini juga digunakan ketika pilihan raya. Malah, beliau menganggap ia lebih baik daripada dakwat kekal, kerana seandainya sistem ini dilaksanakan, seseorang pengundi yang layak tidak perlu mendaftar sebagai pengundi lagi, kerana memadai dengan MyKad, Mykad Reader (alat pembaca kad) dan pengenalpastian cap jari.
Menurut Teh Hon Seng, penggunaan sistem ini tidak menelan kos yang tinggi, lain kata seandainya ada pihak yang cuba mengaut keuntungan dari projek ini. Pada perhitungannya, alat pembaca kad dijual pada harga antara RM300 hingga RM500 di Malaysia. Jikalau satu alat pembaca kad ditempatkan di setiap saluran pusat pengundian, maka hanya beberapa ribu yang dibelanjakan di setiap pusat pengundian.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa penyelewangan tetap akan wujud meskipun sistem biometrik digunakan. "Sistem itu baik, namun ada kemungkinan juga berlaku penyelewengan dengan menggunakan komputer. Cuma, ia agak rumit untuk berbuat demikian."
Teh Hon Seng berkata, di luar sistem tersebut, penyelewengan tetap boleh berlaku seandainya petugas diarah untuk membenarkan mereka yang cap jarinya tidak selaras dengan MyKad-nya masuk untuk mengundi. Malah dalam keadaan yang tidak dipantau, penyelewengan lebih senang untuk mengambil tempat.
Selain itu, sistem biometrik juga berdepan dengan masalah teknikal, misalnya kulit pada jari yang sudah rapuh, sehingga sukar untuk dikenalpasti alat sistem biometrik, kata Teh Hon Seng.
Chin Huat: Masalahnya hilang percaya...
AJK BERSIH 2.0 Wong Chin Huat pula berterus-terang, bahawa persoalan sistem biometrik sebenarnya kembali kepada masalah "kepercayaan". Beliau mengambil contoh, apabila kita menggunakan perkhidmatan online banking, kita sebenarnya menaruh kepercayaan kepada pihak bank.
Beliau berkata, pertukaran dalam urus-niaga adalah jelas, wang ditukar dengan barang, namun teknologi di alam internet adalah "tanpa bunyi, tanpa bayang, tanpa bau" - ia bukan senang untuk membina kepercayaan kerana semuanya "maya". Masalahnya hari ini adalah rakyat telah hilang percaya terhadap kerajaan. Justeru itu, Wong Chin Huat (gambar kanan) mempersoalkan, bagaimana kerajaan meraih kepercayaan rakyat dengan memperkenalkan sistem biometrik?
Pada hemat Wong Chin Huat, syarat yang ada pada hari ini belum memadai untuk melaksanakan sistem biometrik, maka kerajaan harus melaksanakan salah satu tuntutan BERSIH 2.0, iaitu "penggunaan dakwat kekal". Seandainya kerajaan enggan berbuat demikian, Wong mencabar kerajaan untuk mendedahkan rancangan kerajaan sepenuhnya dalam reformasi sistem pilihan raya, agar dibuka untuk perbincangan awam.
*Ong Vic Kee ialah wartawan MerdekaReview
edisi bahasa Cina. Disedut, disunting dan diterjemah dariteks asal
.
Published with Blogger-droid v1.7.4
0 comments