BN derhaka Yang Di Pertuan Agong
Bersih 2.0 yang sepatutnya diadakan di sebuah stadium atas sebab-sebab keselamatan, selaras dengan nasihat Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin yang berkenaan menemui penganjur himpunan aman itu di Istana Negara petang Selasa, 5 Julai lalu.
Hasrat untuk melangsungkannya di beberapa tempat sekitar ibu negara dan kemudian menuju ke Parlimen dimatikan. Ia ekoran titah khas Yang di-Pertuan Agong, pada malam 3 Julai 2011 yang meminta agar tiada himpunan jalanan diadakan.
Pengerusi Bersih, Dato’ Ambiga Sreenavasan akur dengan titah itu dan pihaknya akan bekerjasama dengan kerajaan untuk memilih stadium yang sesuai bagi mengadakan perhimpunan itu yang dijangka membabitkan lebih 100 ribu peserta.
Tiga tokoh Bersih mengadap Tuanku Mizan, Ambiga, Sasterawan Negara Dato’ A Samad Said dan Presiden Jamaah Islah Malaysia (JIM), Zaid Kamaruddin.
Bersih meminta semua pihak khususnya mereka yang menyokong himpunan aman itu untuk memberi kerjasama dengan perkembangan terbaru ini kerana ‘ia adalah langkah yang terbaik buat masa sekarang’.
Umno-BN menyifatkan Himpunan Bersih itu sebagai demonstrasi jalanan yang akan digunakan pembangkang untuk mengguling kerajaan. Tuduhan itu dinafi dengan keras oleh Pakatan Rakyat dan Bersih 2.0.
Susulan provokasi itu, Polis menahan lebih 1400 orang, kebanyakkannya hanya kerana memakai baju berlogo Bersih 2.0 dan berwarna kuning. Ia bukan suatu kesalahan mengikut undang-undang tetapi langkah itu bertujuan untuk menakut-nakutkan rakyat.
Namun titah khas Yang di-Pertuan Agong boleh dan akan ditafsir dengan pelbagai perspektif, dari perhitungan kepentingan masing-masing.
Seandainya teks penuh titah khas diteliti, akan didapati bahawa Yang di-Pertuan Agong tidak menggunakan istilah “haram”, sama ada ketika menggelar “Bersih”, mahupun perhimpunan tersebut.
Sebaliknya, Yang di-Pertuan Agong menggunakan istilah “Kumpulan Bersih”, dan “perarakan dan perhimpunan beramai-ramai”. Dalam perenggan ketiga terakhir, baginda bertitah, “Hakikatnya demonstrasi jalanan banyak membawa keburukan daripada kebaikan walaupun ‘niat asalnya baik.’”
Ia amat berasas dalam konteks, Menteri Dalam Negeri (KDN) Hishammuddin Hussein telah mengisytiharkan Bersih sebagai pertubuhan haram mulai 1 Julai 2011, malah polis sejak awal lagi telah mengumumkan Himpunan Bersih 9 Julai 2011 sebagai perhimpunan haram.
Lebih-lebih lagi, Yang di-Pertuan Agong langsung tidak menyentuh tuduhan-tuduhan yang dilemparkan terhadap Bersih sepanjang dua minggu ini, termasuk resapan komunisme dalam gerakan itu, niat untuk memerangi Agong, wujud anasir asing, muslihat pembangkang untuk menggulingkan kerajaan melalui demonstrasi jalanan dan sebagainya.
Sebaliknya, ketika menyeru kepada pihak Bersih, Yang di-Pertuan Agong bertitah, “...keghairahan sebahagian rakyat berpolitik bagi ‘menyuburkan demokrasi’ dalam negara kita ini hendaklah dipastikan juga bahawa tuntutan demokrasi itu tidak akan membawa kemusnahan kepada negara.”
Sementara itu, Baginda menyeru kepada “pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan kepada rakyat secara adil dan bijaksana dan yang pentingnya Beta selaku Yang di-Pertuan Agong tidak mahu melihat dalam negara bermasyarakat majmuk ini berada di dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri ataupun sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan atas apa jua alasan pun.”
Istilah “adil” digunakan, dan sudah tentu jika diteliti dalam konteks tuntutan “pilihan raya yang bersih dan adil”, amat memberi makna.
Apakah perkembangan ini akan melembutkan sikap Perdana Menteri, yang masih berkeras dengan kenyataan “Ambiga jangan fikir kuat” pada 2 Julai, kepada cadangan “Kita sanggup sediakan stadium untuk mereka berkumpul”, pagi Ahad lalu?
Tindakan terlalu keras yang digunakan PM untuk menekan gerakan Bersih mencungkil lebih ketidakpuasan, daripada ketakutan.
Ia semestinya mencalar imej kerajaan PM, apabila orang awam ditangkap sewenang-wenangnya hanya kerana berpakaian “kuning”. Kezaliman itu seolah-olah sampai ke tahap “langsung tidak masuk akal”.
0 comments