Dakwah Mesti Diteruskan


Dakwah??? Firman Allah :

"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang munkar[217]; merekalah orang-orang yang beruntung." (al-imran,104).

Ma'ruf: segala perbuatan yang mendekatkan kita kepada Allah; sedangkan Munkar ialah segala perbuatan yang menjauhkan kita dari pada-Nya.

Nabi bersabda, "sampaikan daripada aku walaupun satu ayat'. Apa ingin ditekankan ialah dakwah mesti diteruskan oleh umat islam yang mengaku sebagai pengikut Nabi muhammad S.A.W. Al-Quran menjelaskan akan kewajiban lahirnya golongan ini dalam sesebuah tempat termasuk sesebuah negara.

Maka, wajib untuk sesebuah negara melahirkan golongan yang dinyatakan dalam quran di dalam ayat yang dinyatakan di atas. Golongan tersebut mestilah melaksanakan beberapa perkara yang dinyatakan di dalam ayat tersebut dan merekalah orang-orang yang beruntung dan berjaya.

Mereka yang beramal dengan sebahagian ayat tersebut tidak dikategorikan sebagai orang-orang yang berjaya. Tidak dinafikan setiap amal yang baik mendapat pahala. Namun Allah mengkhususkan golongan yang mesti lahir dan bangkit melaksanakan Islam sehingga menyatakan di dalam ayat yang khusus berkenaan kumpulan ini.

Persoalannya, untuk siapa dakwah ini diwajibkan dan kepada siapa dakwah perlu dilaksanakan? Apakah dakwah hanya perlu dilakukan oleh golongan ulama semata-mata? Mereka yang bergelar ustaz semata-mata? Kalau mereka sahaja yang wajib berdakwah, nabi tidak akan bersabda "sampaikan daripada aku walaupun satu ayat" kerana golongan yang alim itu tidak layak untuk menyampaikan satu ayat kerana mereka boleh sampaikan lebih daripada itu.

Tetapi, dakwah yang perlu difahami terlalu luas sehingga nabi kita bersabda sedemikian. Maka tuntutan dakwah ini semestinya kepada setiap individu sekiranya mereka ingin menjadi orang-orang yang berjaya yang dinyatakan di dalam ayat.

Perkara yang penting untuk difahami ialah golongan tersebut mesti melaksanakan tuntutan dakwah dengan memenuhi 3 perkara yang jelas dinyatakan dalam ayat. Pertama, mesti mengajak manusia kepada perkara yang baik. Kedua, menyuruh kepada perkara ma'ruf iaitu perkara yang boleh mendekatkan diri kepada Allah. ketiga, pada masa yang sama mesti mencegah kemungkaran yang ada.

Sekiranya kita melakukan 3 perkara ini mengikut kaedah dan syariat, barulah termasuk dikalangan orang yang beruntung dan berjaya. Ramai yang boleh mengajak kepada kebaikan tetapi tidak ramai yang berani untuk mencegah kemungkaran!!!

Berkait dengan mencegah kemungkaran, Nabi bersabda:

من رأى منكم منكرا فليغيره بيده ، فإن لم يستطع فبلسانه ، فإن لم يستطع فبقلبه و ذلك أضعف الإيمان "Barangsiapa diantara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah ia merubah/mencegah dengan tangannya (kekuasaan) jika ia tidak mampu, maka dengan lidahnya (secara lisan), dan jika tidak mampu, maka dengan hatinya (merasakan tidak senang dan tidak setuju). Dan itu adalah selemah-lemah Iman". - [Di riwayatkan oleh Imam Muslim #49]

Hadis tersebut jelas menunjukkan bahawa kemungkaran mesti dicegah dengan apa cara sekali pun. Pertama dengan kuasa, jika sekiranya ada kuasa dan ini menunjukkan bahawa pentingnya kuasa politik dalam islam bagi melaksanakan tuntutan ini. Kedua, mencegah dengan perkataan. Ini yang menyebabkan Parti islam se-malaysia (PAS) memasuki pilihanraya bagi mengambil alih kuasa. sekiranya tidak dapat memerintah, kita mempunyai suara di parlimen untuk menegur kemungkaran yang berleluasa dan kesilapan kerajaan hari ini.

Sekiranya tidak mampu, barulah boleh membenci di dalam hati. Dan tidak layak untuk kita mengatakan tidak mampu kerana parti islam masih boleh diwujudkan di negara ini dan dakwah masih boleh dilaksanakan dan diteruskan walaupun disekat.

Justeru, dakwah boleh dilakukan melalui pelbagai cara samada ceramah, penulisan dan program-program lain yang diadakan yang tidak bertentangan dengan syariat islam. Mereka yang mampu berhadapan dengan orang ramai perlu berhadapan dengan masyarakat, mereka yang mampu menulis boleh menulis dan mereka yang mahir melaksanakan/menjayakan program mesti menggunakan kepakaran itu untuk berdakwah.

Agenda yang paling penting untuk difahami dalam berdakwah ialah untuk memastikan Agama islam mencapai kemenangan dan mendapat tempat di dalam masyarakat. oleh itu, mereka yang berdakwah juga mesti memahami matlamatnya. Bukan sahaja matlamat, bahkan mereka perlu memahami jalan menuju matlamat tersebut. Ini kerana dakwah yang dilakukan di setiap tempat adalah berbeza. Dakwah di pakistan, di Indonesia, di afrika dan di palestin sudah tentu tidak sama.

Apakah sama dakwah di palestin dengan dakwah di Malaysia? Mereka bertempur dengan senjata dan kita jarang bahkan mungkin tidak pernah menyentuh senjata. Justeru kita mesti memahami konteks dakwah dan fiqh dakwah yang sebenar. Sudah tentu kita tidak mahu menjadi golongan yang cintakan islam tetapi tidak memahami islam.

Waklahu a'lam....


Tags: , ,

Renungan

Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimah yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya (menjulang) ke langit, pohon itu memberikan buahnya pada setiap musim dengan izin Tuhannya. Allah membuat perumpamaan-perumpamaan itu untuk manusia supaya mereka selalu ingat. Dan perumpamaan kalimah yang buruk seperti pohon yang buruk, yang telah dicabut dengan akar-akarnya dari permukaan bumi; tidak dapat tetap (tegak) sedikitpun.

0 comments

Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...