.: APABILA AMANAH DISIA-SIAKAN :.

MARILAH kita merenung kepada satu peristiwa yang berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w. Ketika Rasulullah s.a.w. sedang berkhutbah, tiba-tiba datang seorang Badwi bertanyakan Rasulullah s.a.w.: "Bilakah kiamat?" Rasulullah s.a.w. meneruskan khutbahnya tanpa menghiraukan pertanyaan tersebut menyebabkan sebahagian daripada para sahabat yang berada di dalam majlis tersebut berfikir, tentu Rasulullah s.a.w murka kepada Badwi tersebut kerana tidak beradab di dalam menyoal baginda, atau Rasulullah s.a.w. tidak mendengar soalan ini kerana terlalu asyik menyampaikan khutbahnya. Tiba-tiba Rasulullah s.a.w. bertanya: "Di manakah gerangan orang yang bertanya bilakah kiamat?" Badwi tersebut menjawab: "Saya di sini wahai Rasulullah." Lalu Rasulullah s.a.w. berkata "Apabila amanah ini disia-siakan.

Badwi tersebut bertanya lagi "Bagaimana yang dikatakan mensia-siakan amanah ini wahai Rasulullah?" Jawab Rasulullah s.a.w. "Apabila urusan (umat Islam) diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya (orang yang tidak layak) maka tunggulah kiamat. Hadith ini menjelaskan betapa besarnya amanah mengendalikan urusan umat Islam. Yang dimaksudkan dengan urusan umat Islam itu ialah urusan kepimpinan negara umat Islam. Para ulama menjelaskan bahawa contoh kepimpinan negara Islam kepada seluruh umat Islam ialah Rasulullah s.a.w.

Firman Allah Taala ertinya:

Sesungguhnya bagi kamu pada diri Rasulullah itu ikutan yang baik. (Surahal-Ahzab ayat 21).

Orang Islam hendaklah memilih para pemimpin yang diamanahkan untuk menguruskan urusan mereka dari kalangan orang-orang yang beriman yang memiliki sifat-sifat peribadi yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. seperti amanah, akhlak, benar, bijaksana, berani, mendahulukan kepentingan umat Islam dan teguh pendirian di dalam melaksanakan syariat Allah Taala. Di antaranya Allah Taala telah memberi garis panduan di dalam al-Quran nul-karim ertinya:

Sesungguhnya penolong-penolong kamu ialah Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman yang mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat serta mereka ruku' (tunduk dan patuh kepada Allah). (Surah al-Maidah ayat 55).

Inilah sifat-sifat yang dituntut oleh Allah Taala kepada orang-orang yang akan dilantik menjadi pemimpin umat Islam, dan hendaklah mereka memilih para pemimpin dari kalangan orang-orang yang mempunyai sifat-sifat tersebut untuk diserahkan amanah yang besar ini supaya mendapat keselamatan di dunia dan di akhirat.

Selepas kewafatan Rasulullah s.a.w., para sahabat menghadapi tugas berat dalam mencari siapakah pengganti yang akan memimpin umat Islam selepas Rasulullah s.a.w. Akhirnya mereka mengambil keputusan melantik Abu Bakar As-Siddiq r.a. sebagai khalifah. Pemilihan Abu Bakar As-Siddiq bukannya berdasarkan kepada harta benda dan kekayaan yang ada pada beliau tetapi berdasarkan kepada sifat-sifat peribadi yang melayakkan untuk memimpin umat Islam.

Selepas dilantik, Abu Bakar As-Siddiq menyampaikan ucapan yang mengandungi peringatan-peringatan dan di dalamnya juga beliau mendedahkan dirinya untuk dikritik dan diperbetulkan sekiranya terseleweng kerana mengharapkan sifat-sifat kepimpinan yang ada pada dirinya tetap terpelihara:

Ertinya: Wahai manusia, sesungguhnya aku dilantik menjadi pemimpin kamu, dan bukanlah aku orang yang terbaik di kalangan kamu. Sekiranya aku melakukan kebaikan (berlaku adil) maka tolonglah aku, sekiranya aku melakukan kejahatan (berlaku zalim) maka perbetulkan aku. Benar ini amanah dan dusta itu khianat. Orang yang kuat di kalangan kamu adalah lemah di sisiku sehingga aku mengambil haknya (yang diperolehi secara zalim). Dan orang yang lemah di kalangan kamu adalah kuat di sisiku sehingga aku mengembalikan kepadanya hak (yang diambil secara zalim). Tidak meninggalkan jihad oleh sesuatu kaum melainkan Allah menimpakan ke atas mereka semuanya dengan kehinaan dan kemusnahan. Taatlah kamu kepada aku selagi aku taat kepada Allah dan RasulNya. Sekiranya aku menderhakai Allah dan RasulNya maka kamu tidak perlu lagi mentaatiku.

Sejarah umat Islam membuktikan bahawa mereka akan tetap berada di dalam keadaan baik dan mulia selagi mereka dipimpin oleh orang-orang yang soleh, adil, amanah dan melaksanakan syariat Islam. Sebaliknya mereka akan dihina dan mengalami bencana sekiranya mereka dipimpin oleh pemimpin yang jahat, zalim, fasik dan meninggalkan syariat Allah Taala.

Apa yang diberi amaran oleh Rasulullah s.a.w. sebenarnya telah melanda umat Islam disebabkan mereka tidak mengambil berat dan memandang ringan masalah pemilihan pemimpin. Umat Islam mengalami penyakit cintakan dunia dan mementingkan kemewahan hidup. Dengan sebab itu umat Islam memilih pemimpin dari kalangan mereka yang dapat memberi jaminan kemewahan hidup dan kesenangan dunia, bukan mereka yang mempunyai ciri-ciri kepimpinan seperti soleh, adil, amanah, bertaqwa, beramal dengan ajaran Islam dalam semua aspek dan yakin serta melaksanakan hukum Allah Taala.

Inilah perangai yang dilakukan oleh umat kaum Bani Israel apabila mereka meminta daripada nabi mereka supaya melantik seorang pemimpin untuk memimpin mereka.

Firman Allah Taala yang bermaksud:

Dan berkata nabi mereka "sesungguhnya Allah melantik Thalut sebagai raja kamu". Mereka (Bani Israel) berkata "Bagaimana dia boleh menjadi raja kepada kamu, dan kami sebenarnya lebih layak daripadanya, dan dia tidak memiliki harta yang banyak". Berkata nabi tersebut "sesungguhnya Allah memilihnya ke atas kamu dan membekalkannya dengan ketajaman ilmu dan kekuatan tubuh badan. Dan Allah mengurniakan kekuasaan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (kurniaanNya) lagi Maha Mengetahui.

Orang-orang Yahudi mengalami fahaman kebendaan sehingga di dalam perkara pemilihan pemimpin pun, mereka meletakkan sifat-sifat kebendaan sebagai asas. Sifat ini jugalah yang menyerap masuk ke dalam umat Islam. Umat Islam hari ini memilih sesiapa sahaja sebagai pemimpin asalkan dapat memberi kesenangan hidup walaupun bersifat penipu, khianat, mementingkan diri sendiri, menjual maruah negara dan rakyat dan meninggalkan syariat Islam. Sebenarnya masa masih belum terlambat untuk umat Islam memperbaiki keadaan supaya umat Islam terselamat di dunia dan di akhirat.

Firman Allah yang bermaksud:

Sesungguhnya Kami (Allah) telah menetapkan di dalam kitab Zabur selepas menentukan di dalam zikir bahawa bumi ini akan diwarisi oleh hamba-hamba yang soleh.

(Surah al-Anbiya ayat 105).


Presiden PAS:

YB Dato' Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang

Tags: ,

Renungan

Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimah yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya (menjulang) ke langit, pohon itu memberikan buahnya pada setiap musim dengan izin Tuhannya. Allah membuat perumpamaan-perumpamaan itu untuk manusia supaya mereka selalu ingat. Dan perumpamaan kalimah yang buruk seperti pohon yang buruk, yang telah dicabut dengan akar-akarnya dari permukaan bumi; tidak dapat tetap (tegak) sedikitpun.

0 comments

Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...