KEMAMAN – Harga petrol RON95, diesel dan Petroleum Gas Cecair (LPG) dijangka akan naik selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13), sekali gus terus membebankan rakyat, kata Penolong Setiausaha Badan Perhubungan Pas Terengganu, Hanafiah Mat. Sehubungan itu, beliau yang juga Pengarah Pas Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Chukai, mengingatkan rakyat agar membuat pilihan tepat kerana wisel PRU 13 akan berbunyi bila-bila masa sahaja.
Menurutnya, berdasarkan maklumat yang diperoleh Pas, kemungkinan PRU 13 akan dipercepatkan disusuli dengan kenaikan harga bahan api berkenaan.
“Rakyat marah dengan kenaikan harga bahan api sebelum ini yang mengakibatkan harga barangan lain juga melambung. Dengan senario ini, ramai juga bercakap, kemungkinan politik Terengganu pada PRU 13 nanti akan kembali berulang sebagaimana 1999 yang mana rakyat memilih Pas.
“Buat masa ini kerajaan Barisan Nasional (BN) takut untuk menaikkan harga bahan api ini kerana khuatir sokongan rakyat berkurang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan program al-Falah berupa wang tunai dan barangan keperluan dapur kepada seramai 36 orang miskin, orang sakit, orang tua dan pemimpin masyarakat (Moswa) di kawasan Rumah Murah Geliga, Dalam Baram.
Hadir sama, Ketua Dewan Muslimat Pas Kawasan Kemaman, Fainah Mat.
“Pas Terengganu kini sudah bersiap sedia untuk memerintah kembali, bahkan kita juga menyiapkan semua jentera yang bukan sahaja sudah bersedia untuk menghadapi PRU 13, tetapi memilih calon untuk berkhidmat di jabatan Kerajaan Negeri apabila mengambil alih pemerintahan dan pentadbiran Terengganu nanti,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai program itu, katanya, penyerahan bantuan itu bertujuan meringankan beban penerima yang tidak berkemampuan seterusnya memperkukuhkan hubungan sesama insan.
“Insya-Allah program sebegini akan berterusan menjelang Ramadan dan sampai bila-bila atas kesedaran membantu meringankan beban rakyat,” katanya.- SH

0 comments