Peringatan buat Pejuang Gerakan Islam

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?" Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya".
al baqarah ayat 30

Daripada Huzaifah bin Asid Al-Ghifari ra. berkata: "Datang kepada kami Rasulullah saw. dan kami pada waktu itu sedang berbincang-bincang. Lalu beliau bersabda: "Apa yang kamu perbincangkan?". Kami menjawab: "Kami sedang berbincang tentang hari qiamat". Lalu Nabi saw. bersabda: "Tidak akan terjadi hari qiamat sehingga kamu melihat sebelumnya sepuluh macam tanda-tandanya". Kemudian beliau menyebutkannya: "Asap, Dajjal, binatang, terbit matahari dari tempat tenggelamnya, turunnya Isa bin Maryam alaihissalam, Ya’juj dan Ma'juj,
tiga kali gempa bumi, sekali di timur, sekali di barat dan yang ketiga di Semenanjung Arab yang akhir sekali adalah api yang keluar dari arah negeri Yaman yang akan menghalau manusia kepada Padang Mahsyar mereka".
(H.R Muslimi)

Dalam beberapa tahun terakhir ini kita "di khabarkan" dengan berbagai macam musibah yang menimpa sekitar pelusuk bumi,seperti banjir, gempa bumi, tsunami, tanah runtuh, letusan gunung berapi dan seterusnya musibah yang terbaru melanda negara di Timur baru-baru ini sekali lagi mengejutkan penduduk dunia selepas luka di Acheh pada 2004 yang lalu. Kini gempa yang melanda Jepun adalah yang terburuk selepas Acheh yang mana gempa bumi pada kali ini turut menghasilkan gelombang tsunami meragut hampir 16000 mangsa yang terkorban dan hilang. Yang terbaru pada 11 Mei 2011 gempa bumi berukuran 5.1 skala Richter yang melanda di Negara Barat Sepanyol yang mungin tidak di ketahui orang ramai.

Bagaimanakah sebenarnya pandangan Islam terhadap bencana alam?.Adakah ia fenomena biasa seperti yang didakwa sesetengah pihak terutamanya golongan pengkaji daripada Barat bahawa setiap bencana alam yang terjadi merupakan salah satu hasil perubahan alam semulajadi. Jika kita mentadabbur, memikirkan hikmah di sebalik kejadian bencana alam ini, hati yang tenang dan akal yang waras tetap mengatakan ia adalah sunnatullah yang wajib kita imani.

Salah satu perkara yang dapat kita fikirkan bersama fenomena bencana alam yang terjadi berturutan terutamanya musibah kejadian gempa bumi yang berlaku dalam jangka masa yang dekat memberi gambaran kepada kita suatu amaran dan peringatan dari Pemilik-Nya. Pelbagai uji kaji bom atom di lakukan samada di lautan dan di darat, persaingan dalam membina dan memajukan kuasa nuklear, pencemaran berleluasa dengan tumpahan minyak di lautan akhirnya memberi kesan buruk semula kepada manusia. Dengan pelbagai teknologi dibangunkan seluruh dunia hanya untuk mencapai kepuasan dunia dianggap seolah-olah suatu pertandingan bagi menunjuk kemajuan masing-masing.

Yang paling merisaukan kita adalah kesan radiasi yang timbul akibat daripada kebocoran loji nuklear yang akan menjadi senjata pembunuh manusia dalam senyap. Bagaimanapun ini bukanlah kejadian pertama yang seumpama berlaku. Kita di kelilingi oleh 400 buah loji reaktor nuklear yang sedang beroperasi di seluruh dunia. Walaupun pelbagai langkah keselamatan di ambil kira tetapi harus ingat hakikat kejadian Allah yang tidak dapat di elak. Jika di rujuk kembali pada Al quran dan hadis, jelas terbukti apa yang berlaku hari ini. Manusia tidak lain dan tidak bukan hanya membuat kerosakan di muka bumi, sedangkan tujuan asal manusia sebagai khalifah adalah untuk memakmurkan muka bumi.

Dalam konteks mengurus alam sekitar, Islam menegaskan supaya manusia tidak melakukan kerosakan kepada alam sekitar sebagaimana yang telah kita lihat kini, kerosakan alam sekitar yang dilakukan oleh tangan manusia. Dalam hal ini Allah berfirman yang bermaksud: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut Dengan sebab apa Yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya Yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk Yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)” (al-Rum, ayat 41)

Sesungguhnya alam sekitar dan segala kekayaan adalah milik mutlak Allah sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Allah jualah Yang Menguasai alam langit dan bumi serta Segala Yang ada padanya; dan Dia lah jua Yang Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu” (al-Maidah, ayat 120). Jelas, tiada siapa yang berhak melarang orang lain menceroboh haknya sendiri untuk mencari sara hidup di alam ini. Tetapi perlulah diingat bahawa dalam mengejar kekayaan, alam sekitar tidak patut dicemar atau dimusnahkan. Hal ini telah dijelaskan oleh Allah dalam firmannya yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mengurangi hak-hak orang ramai, dan janganlah kamu bermaharajalela melakukan kerosakan di bumi”(al-Syu’ara, 183)


Tags: , , ,

Renungan

Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimah yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya (menjulang) ke langit, pohon itu memberikan buahnya pada setiap musim dengan izin Tuhannya. Allah membuat perumpamaan-perumpamaan itu untuk manusia supaya mereka selalu ingat. Dan perumpamaan kalimah yang buruk seperti pohon yang buruk, yang telah dicabut dengan akar-akarnya dari permukaan bumi; tidak dapat tetap (tegak) sedikitpun.

0 comments

Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...