KEMAMAN: Kekalahan PAS dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 di Dewan Undangan Negeri (Dun) Chukai ditangan Barisan Nasional (BN) kerana kelebihan parti Umno di “kubu” kuatnya Paya Berenjut.
Pada pilihan raya 2008, Tuan Haji Hanafiah Mat gagal merampas kerusi Dun Chukai dari penyandangnya, Dato’ Mohamed Awang Tera dengan kelebihan dibawah 700 undi sahaja.
Bedah siasat pilihan raya mendapati Kampung Paya Berenjut merupakan antara beberapa “kubu” kuat Umno yang terdiri di kalangan nelayan yang berasal dari Kuala Kemaman.
Pengundi di kampung berkenaan seramai 1759 orang dan PAS kalah dengan 94 undi sahaja. Manakala, culaan terakhir yang dilakukan mendapati PAS bakal menang dengan kelebihan 3 undi.
Hari ini, kubu tersebut telah berjaya “dipecahkan” dan senario pergolakan ‘dalaman’ Umno-BN yang tidak ada kesudahan bakal memberi harapan serta peluang kepada PAS dalam pilihan raya akan datang.
Sehubungan itu, Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Chukai telah mengadakan program al-Falah di Unit Peti Undi (UPU) Banggol selepas UPU Pengkalan Pandang minggu lalu.
Bermula dengan bacaan Ya’asin oleh Muslimat PAS di rumah-rumah terpilih secara berkelompok juga diadakan tazkirah maghrib oleh pendakwah bebas, Ustaz Ismail Dagang.
Aktiviti pemuda pula diadakan perlawanan Futsal muhibbah yang disertai oleh 18 pasukan bertanding.
Pasukan futsal Arena Berenjut dinobatkan sebagai johan, di tempat kedua kumpulan Pemuda Hijau dan Peteh di tempat ketiga.
Pada satu majlis penyampaian sumbangan 80 orang penerima fakir miskin dan 20 orang anak-anak yatim diadakan pada hari Sabtu (1 Mei) beserta dengan jamuan rakyat.
Masing-masing menerima sumbangan beras dan keperluan dapur serta wang tunai kepada anak-anak yatim tersebut.
Pada tengaharinya, rombongan MTD dan Muslimat mengadakan lawatan ziarah ke rumah orang sakit di kampung berkenaan.
Antaranya, ketika ziarah ke rumah seorang warga emas, Omar Mohamad, 65, yang mengidap sakit ghout kronik sehingga tidak mampu berjalan seperti biasa.
Beliau menangis ketika Haji Hanafiah melawatnya kerana sedih tidak dapat memberi sumbangan khidmat bekerja untuk jamaah kerana keuzuran.
“Jika boleh, sebelum saya meninggal nok tengok Islam menang. Setiap kali selepas sembahyang, saya selalu doakan supaya Islam (PAS) menang.
“Saya rasa sedih sebab lama tidak dapat bersama dengan jamaah (PAS) di luar untuk buat kerja-kerja parti,” ujarnya dengan nada sedih.
Katanya, bukan kerana Islam tidak baik tetapi kerana orang Melayu “degil” dan menolak perjuangan Islam.
May 2, 2011 at 1:45 PM
Tahniah PAS dun cukai!!