Ahmadinejad henti mogok




2011/05/02

Presiden Iran laksana tugas selepas 9 hari ‘bersengketa’

TEHERAN: Presiden Iran Mahmoud Ahmadinejad tidak lagi ‘merajuk’ dan mengakhiri ‘mogok urusan rasmi’ selama sembilan hari dengan mempengerusikan mesyuarat Kabinet petang semalam, lapor agensi berita rasmi IRNA.

“Mesyuarat Kabinet bagi sesi petang dipengerusikan presiden Mahmoud Ahmadinejad,” kata akhbar itu yang memetik sumber tidak dinamakan.
Ahmadinejad yang berada di khalayak dan memberi ucapan hampir setiap hari, menjauhi mesyuarat Kabinet dan tidak muncul di khalayak sejak 22 April, selepas dilaporkan bertelingkah dengan pemimpin tertinggi mazhab Syiah Ayatollah Ali Khamenei.
Pertelagahan itu diketahui selepas Khamenei yang mempunyai kuasa muktamad membabitkan semua urusan hal-ehwal negara, menolak pemecatan Menteri Perisikan, Heydar Moslehi.

Moslehi dipercayai mempunyai hubungan yang rapat dengan kelompok ultra konservatif, manakala kemente-riannya mempunyai peranan penting dalam menentukan dan memantau latar belakang calon pilihan raya. Beliau dikatakan menerima tekanan daripada Ahmadinejad untuk meletak jawatan.

Krisis itu secara tidak langsung mendedahkan persaingan antara penyokong Ahmadinejad dan pembangkang bagi menguasai rangkaian perisikan menjelang pilihan raya parlimen pada Mac 2012.

Walaupun menerima desakan daripada konservatif agar kembali bekerja, Ahmadinejad terus membisu, memulaukan beberapa mesyuarat kerajaan, malah membatalkan satu lawatan rasmi ke kota suci puak Syiah, Qom.
Khamis lalu, Parlimen menggesa presiden mengiktiraf kuasa muktamad Kha-menei dan mengakhiri tindakan yang membolehkan pihak musuh mengambil kesempatan.
Kelmarin, Khamenei sendiri turut campur tangan menggesa pegawai kerajaan tanpa menyebut nama presiden secara langsung, agar menjauhi sebarang tindakan yang akan mencetuskan pertelagahan dalam kerajaan.

Ingatan itu kemudian disusuli pengumuman sumber yang rapat dengan Ahmadinejad bahawa beliau akan kembali bertugas dan menjelaskan punca tindakannya.
Agensi berita Fars melaporkan satu delegasi ahli parlimen konservatif yang menemui Ahmadinejad selama tiga jam kelmarin berkata presiden mengulangi kesetiaannya kepada Khamenei. – AFP
Tags: ,

Renungan

Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimah yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya (menjulang) ke langit, pohon itu memberikan buahnya pada setiap musim dengan izin Tuhannya. Allah membuat perumpamaan-perumpamaan itu untuk manusia supaya mereka selalu ingat. Dan perumpamaan kalimah yang buruk seperti pohon yang buruk, yang telah dicabut dengan akar-akarnya dari permukaan bumi; tidak dapat tetap (tegak) sedikitpun.

0 comments

Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...