PAS Kemaman sedang giat membuat persiapan menyambut Jubli Emas 50 tahun (1960-2010). Saya diamanahkan mengetuai Unit Pameran & Arkib. Bukan mudah mengumpulkan bahan lama terutama gambar dan fakta sejarah. Apatah lagi dokumentasi dahulu kurang. Penyimpanan pun tidak ada sangat. Kalau ada fakta sejarah, ia ada dalam kepala masing-masing. Nak ingat satu hal. Nak mengeluarkan apa yang ada dalam kepala satu hal. Nak susun ayat satu hal. Nak banding fakta dengan fakta yang diberi oleh orang lain pula satu hal. Kalau matching ok. Kalau bercanggah fakta? Kesibukan urusan harian dengan 2-3 kuliah sehari di samping program lain melambatkan sedikit pengumpulan bahan sejarah. Mujur ada tulisan bekas NYDP PAS Kemaman, Hj Ibrahim Kamal yang lama menjadi S.U PAS Kemaman berkait dengan sejarah PAS Kemaman. Itupun 2 kali mengadap Abang Him nak confirm fakta. Juga wawancara dengan mantan YDP TG Hj Awang Dagang yang lama menerajui PAS Kawasan Kemaman.
Juga bertemu Hj Omar Idris, mantan Timbalan YDP sekitar tahun 1980an yang ’skima’, mengumpulkan mint-minit mesyuarat, keratan akhbar dan dokumen lain yang boleh dijadikan panduan. Failnya sahaja lebih 10 buah. Semuanya dipenuhi debu. Saya duduk ‘melembang’ (’lembang’ dalam bahasa daerah Terengganu bermakna selongkar) dan membelek. Kalau mahu membuat arkib dan benar-benar bahan sejarah, boleh lembang sehari suntuk. Saya hanya menambah 2 mukasurat A4 menjadi 9 yang asal tulisan Abang Him itu 7 mukasurat. Barangkali kalau ada grant khusus bolehlah kot, tak buat kerja lain, hanya kumpul dokumen dan bahan sejarah ini.
Gambar-gambar lama juga ada sedikit sebanyak yang sempat dikumpulkan. Itulah sedikit rakaman yang dapat dibuat untuk koleksi lama. Gambar baharu banyak Alhamdulillah.
Dalam PAS Pusat, Hj Subki Latif yang pernah bertanding dalam PRU di peringkat Parlimen Kemaman adalah di antara orang lama yang rajin menulis tentang sejarah lama PAS. Al-marhum Ustaz Hasan Shukri juga banyak maklumat tentang sejarah PAS. Dan masing-masing pimpinan PAS di pelbagai peringkat sebenarnya punya ingatan tersendiri tentang sejarah perjuangan PAS ini.
Ketika saya mengumpulkan bahan untuk Jubli Emas ini bersama Tuan Haji Ahmad Salehudin, beliau memberitahu saya, ketika kecilnya dahulu, Dr Burhanudin Helmi pernah datang dan tidur di surau bapanya di Kampung Tuan. Jam 3 pagi Dr Burhanudin sudah bangun ‘bermain air’, kata Hj Ahmad Salehudin. Beliau solat dan membaca. Alhamdulillah inilah pemimpin PAS yang pernah ada. Dan PAS tidak kering dengan pimpinan seperti ini sehingga sekarang.
Sejarah yang dikumpulkan ini insyaAllah akan disimpan untuk generasi akan datang. Dan apabila PAS Kawasan Kemaman menyambut Jubli berikutnya, akan ada pengumpulan fakta-fakta baharu dan yang diperbaharui dan diperkemaskan lagi.
Perjuangan tetap diteruskan.
0 comments