Pemuda PAS, Mahasiswa Demo Bantah Konsert

Kira-kira 200 orang pemuda PAS dan mahasiswa Islam hadir di Stadium Putra Bukit Jalil hari ini bagi membantah konsert penyanyi antarabangsa yang mengamalkan budaya songsang, Adam Lambert.

Mereka terdiri daripada pelajar Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (GAMIS), Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), serta Komuniti Mahasiswa Kerinchi.

Pimpinan Pemuda PAS yang hadir termasuk Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Nasruddin Hassan Tantawi, Ahli Parlimen Jerai Firdaus Jaafar, dan Ahli Parlimen Padang Terap Nasir Zakaria (Gambar -Harakahdaily).

Kelihatan kira-kira 50 anggota polis Unit Simpanan Persekutuan (FRU) diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga mengawal keadaan bagi mengelakkan jika berlakunya keadaan tidak diingini sepanjang perhimpunan itu.

Nasruddin dalam ucapannya berkata, konsert ini perlu dibatalkan kerana Lambert membawa budaya yang bertentangan dengan norma masyarakat Timur dan amalan Islam..

"Adam Lambert seorang artis yang secara terbuka mengaku sebagai gay dan pengamal homoseksual dan menunujukkan kelakuan tidak senonoh diatas pentas.

"Kami khuatir jika penonton terutama remaja akan mengikut amalan budaya penyanyi pujaan mereka ini tanpa berfikir panjang," katanya sambil diiringi laungan takbir daripada penyokong.

Mereka kemudiannya melaungkan "hancur maksiat", "bantah Adam Lambert", dan memijak serta mengoyakkan poster penyanyi naib juara American Idol itu.

Selepas itu, mereka berarak dan berkumpul kira-kira 10 meter dihadapan pintu masuk, manakala lima daripada wakil kumpulan itu masuk ke dalam stadium bagi ‘memerhatikan’ keadaan.

Selepas setengah jam meninjau konsert itu, mereka keluar dan berpuas hati Lambert berpakaian sopan dan mematuhi peraturan konsert di negara ini.

Mereka bersurai kira-kira 10 malam tadi, dan Lambert selesai mengadakan persembahannya setengah jam kemudian. Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras Rahim Hamzah Osman ketika ditemui pemberita berkata, suasana berlangsung dalam keadaan terkawal dan mahasiswa yang mengadakan perhimpunan itu tidak melanggar undang-undang ketenteraman awam.

"Walaupun tiada permit, saya berpuas hati kerana suasana dalam keadaan terkawal…selagi mereka tidak mengganggu ketenteraman awam mereka boleh menyuarakan apa-apa pendapat," katanya.-FMTMalay
Tags:

Renungan

Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimah yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya (menjulang) ke langit, pohon itu memberikan buahnya pada setiap musim dengan izin Tuhannya. Allah membuat perumpamaan-perumpamaan itu untuk manusia supaya mereka selalu ingat. Dan perumpamaan kalimah yang buruk seperti pohon yang buruk, yang telah dicabut dengan akar-akarnya dari permukaan bumi; tidak dapat tetap (tegak) sedikitpun.

0 comments

Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...