Assalamu’alaikum w.b.t.
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih.
"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu dari kamu, supaya kamu bertakwa."
(Surah al-Baqarah: 103)
Bulan Ramadhan yang akan berlalu ini merupakan madrasah terbaik bagi mendidik dan melatih kita supaya sentiasa bersabar. Ia bukan sahaja bulan yang diwarnai dengan solat sunat, tadarrus al-Quran dan qiamullail. Bahkan, ia adalah bulan jihad. Dalam sejarah, Rasulullah s.a.w. dan para sahabat berdepan dengan tentera kafir Quraisy di medan Badar. Akhirnya, tentera Islam tetap mendapat kemenangan walaupun ‘kalah’ dari sudut persediaan material, kelengkapan perang.
Ramadhan sentiasa mengajar kita betapa kesabaran menjadi paksi kepada kejayaan hakiki dan memperkukuhkan kekuatan ruh serta jiwa. Ini kerana jiwa dan ruh yang membentuk manusia, seperti yang diungkapkan oleh Abul Fath al-Busti:
"Perhatikan jiwamu, dan sempurnakan, Kamu insan kerana jiwa, bukan kerana jasad."
Hari raya Aidilfitri adalah satu kurniaan besar daripada Allah S.W.T. Ia adalah sambutan hari kemenangan umat Islam setelah berpuasa sebulan di bulan Ramadhan dan menghadapi pelbagai cabaran dalam perjuangan. Maka, hari raya ini hendaklah kita sambut dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran di atas segala kurniaan Allah.
Firman Allah S.W.T yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu menyempurnakan bilangan puasa (pada Bulan Ramadhan) dan hendaklah kamu bertakbir mengagungkan Allah (apabila berhari raya) kerana Allah berikan hidayah kepada kamu.”
(Surah Al Baqarah : 185)
Di sebalik kegembiraan dan kesyukuran, jangan kita lupa kepada nasib yang sedang melanda saudara kita yang sentiasa dicengkam oleh tentera Israel di Palestin dan bencana banjir yang melanda Pakistan.
Di kesempatan ini, saya selaku pengarah mewakili seluruh ahli jawatankuasa PAS MTD Chukai ingin merakamkan ucapan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam di Malaysia khususnya di DUN Chukai ini. Maaf zahir dan batin. Saya juga ingin menjemput seluruh warga DUN Chukai untuk bertandang ke Rumah Terbuka PAS DUN Chukai pada 17 September ini di perkarangan Pejabat PAS DUN Chukai.
Akhir kata, semoga segala kebaikan yang kita corakkan di bulan Ramadhan berhasil dan membuahkan sifat istiqamah dalam diri kita.
Hj. Hanafiah bin Mat
Penolong Setiausaha
Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu
merangkap Pengarah PAS MTD Chukai
0 comments