Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 12 Ogos: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) mahu membantu Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah dalam hasratnya mahu melihat mahasiswa boleh terlibat dalam politik negara.
Sehubungan itu mereka mempelawa Saifuddin mengadakan perbincangan bersama bagi mengkaji penglibatan mahasiswa dalam politik negara yang dilihat sebagai suatu perkembangan yang positif dalam memartabatkan ideologi mahasiswa.
Menurut ketua DPPP, Nasruddin Hassan, pelawaan tersebut ekoran sikap ikhlas dan terbuka yang ditunjukkan Saifuddin bagi memberikan lebih ruang demokrasi kepada golongan mahasiswa di negara ini yang sekian lama dilihat terkongkong dan disempitkan.
"DPPP melihat isu kebenaran mahasiswa untuk berpolitik adalah satu polisi yang matang dan ia menyuburkan lagi semangat demokrasi di Malaysia," katanya.
Menurutnya juga, perbincangan dengan DPPP dan Pakatan Rakyat juga tepat kerana mereka sebahagian sistem politik dan paling dekat dengan golongan muda termasuk mahasiswa.
"DPPP berpendapat perkara ini bukan semata-mata untuk kepentingan semua parti, bahkan ia adalah untuk membina idealisme mahasiswa disamping menekankan jatidiri dan komitmen mereka kepada masa depan negara," ujarnya.
Cadangan agar Mahasiswa dibenar terlibat dengan politik sebelum ini dikemukakan
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah untuk diputuskan diperingkat kabinet
Kabinet awal minggu ini bagaimanapun menolak cadangan tersebut.
Saifuddin bagaimanapun bercadang membangkitkan cadangan itu sekali lagi pada mesyuarat Majlis Tertinggi Umno 27 Ogos ini.
Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) semalam menyifatkan penolakkan oleh kabinet itu sebagai usaha terancang untuk membonsaikan minda mahasiswa yang satu ketika dahulu menjadi jurubicara masyarakat.
0 comments