![]() |
KANAK-KANAK mangsa banjir Pakistan dijangkiti cirit-birit. |
Bencana sejak sebulan lalu ragut 1,643 jiwa, enam juta tinggalkan kediaman
ISLAMABAD: Selepas sebulan hujan musim monsun mencetuskan bencana terburuk di Pakistan, paras banjir mula susut semalam dan Jabatan Kaji Cuaca menjangka keadaan akan bertambah baik berikutan hujan tidak diramal turun untuk beberapa hari akan datang.
“Paras air di kebanyakan sungai sudah susut dan kami yakin dalam tempoh 10 hingga 12 hari lagi paras sungai di wilayah Sindh akan kembali biasa. Bagaimanapun kami akan terus berwaspada,” kata Qamar-uz-Zaman Chaudhryp, pegawai tertinggi jabatan kaji cuaca.
Bencana yang bermula sejak lewat Julai lalu di hulu lembah Indus di wilayah barat laut Pakistan dan kini merebak ke wilayah Sindh di selatan, sudah meragut nyawa 1,643 orang dan memaksa enam juta penduduk meninggalkan kediaman masing-masing, selain menyebabkan kerugian berbilion dolar berikutan kerosakan prasarana, tanaman dan ternakan.
Walaupun paras air sudah mula susut, pegawai tempatan berkata mereka masih memantau keadaan di pekan Thatta, 70 kilometer di timur Karachi, di wilayah selatan Sindh.
Air melimpah benteng sungai Indus berhampiran Thatta dan memasuki terusan yang mengalir ke laut.
“Jika air ini tidak terus mengalir ke laut, Thatta akan dinaiki banjir. Keadaannya sekarang agak kritikal,” kata Pesuruhjaya Kerja Bantuan Wilayah Sindh, Riaz Ahmed Soomro.
“Kami sedang berusaha menahan limpahan ini dengan mengukuhkan benteng sungai bagi menyelamatkan Thatta.”’
Soomro berkata kira-kira 95 peratus daripada 300,000 penduduk pekan itu sudah melarikan diri ke tempat lebih selamat.
“Hanya anggota keluarga lelaki saja yang tinggal untuk melindungi harta mereka. Kanak-kanak, wanita dan orang tua semuanya sudah meninggalkan Thatta.”
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu berkata pekerja bantuan semakin bimbang penduduk yang terjejas akan diancam penyakit dan kebuluran.
Pegawai PBB menganggarkan 72,000 kanak-kanak di kawasan terjejas diancam kebuluran teruk dan terdedah dengan risiko kematian yang tinggi.
Banjir berkenaan merosakkan sekurang-kurangnya 3.2 juta hektar kawasan pertanian iaitu 14 peratus daripada keseluruhan kawasan pertanian Pakistan. – Reuters
0 comments